Pilih Bahasa

Kudat terima impak ekonomi besar dengan pengaktifan semula sistem barter trade: Ben Chong

PUERTO PRINCESA CITY, Palawan: Kudat akan mendapat impak ekonomi besar dengan penghidupan semula sistem perniagaan berkonsepkan pertukaran barang atau barter trade.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor, Ben Chong mengatakan demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Governor Palawan, Jose Ch. Alvarez bersempena dengan Forum Perniagaan ICT di Puerto Princesa City, Palawan minggu lalu.

Ben Chong menyampaikan cenderahati kepada Governor Palawan. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Tanjong Kapor

“Meningkatkan taraf ekonomi penduduk Kudat adalah sebahagian dari tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat.

“Keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal untuk menghidupkan semula sistem barter trade dan servis feri tersebut amat bertepatan.

“Saya menyokong penuh keputusan Ketua Menteri itu. Walau bagaimanapun, seperti yang disarankan oleh beliau, pengenalan beberapa peraturan baru harus diambil kira termasuk isu keselamatan,” kata Ben.

Menurut Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri itu, beliau akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Palawan selepas kerajaan negeri memulakan semula sistem barter trade tersebut.

“Berita membuka semula sistem Barter ini akan memberi nafas semula kepada peniaga di Kudat yang mengalami kerugian selepas kerajaan dahulu menggantungnya,” ujar beliau.

Beliau turut menambah dari segi prasarana dan agensi kerajaan yang berkaitan, daerah itu tidak mempunyai sebarang masalah kecuali kemungkinan akan ada beberapa penaiktarafan sedikit.

Banyak topik yang dibincangkan oleh Ben dan Jose semasa lawatan sosial tersebut. Ini termasuklah peluang perniagaan dua hala antara Kudat – Palawan dan juga pelancongan yang akan memberi pulangan kepada kedua-negeri pihak.-SabahNewsToday