Pilih Bahasa

KUMPULAN BANTAH SAMBUTAN KRISMAS BUKAN WAKIL RAKYAT SABAH – UPKO

Oleh Chris Maskilone

RANAU: Upko melahirkan rasa kecewa serta khuatir dengan tindakan sebuah kumpulan di Tawau yang menganggap diri mereka sebagai mewakili komuniti Islam untuk membantah perayaan Krismas dan tahun baru anjuran Pejabat Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew.

Jasni Rijan. Gambar SNT/Ehsan Upko

Lebih dari itu, kumpulan ini telah menuduh seorang Uskup berkhutbah kepada umat Islam dalam ucapannya.

“Tentu sekali tindakan dan tuduhan sedemikian berpotensi untuk menindas keharmonian, persefahaman, keamanan dan keselamatan di kalangan pelbagai bangsa dan agama di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya,” kata pengerusi bersama Biro Keagamaan dan Keharmonian Kaum Upko, Jasni Rijan hari ini.

Katanya bagi umat Kristian, hari Natal atau Krismas adalah masa yang terpenting yang menandakan kelahiran Juruselamat, Yesus Kristus.

“Ia adalah masa untuk berdoa dan bersyukur. Ia adalah masa untuk berayukur serta memperbaharui iman kepada Tuhan Maha Kuasa, kepada keluarga dan komuniti.

“Ia adalah masa dan peluang bagi mereka untuk menerima serta memberi kemaafan antara satu dengan lain,” katanya.

Menurut Jasni, Upko menolak dan menentang sekeras-kerasnya tindakan serta tuduhan yang tidak berasas kumpulan ini, yang kononnya terdiri daripada persatuan-persatuan agama, sosial dan politik.

“Malah Upko juga yakin dan percaya bahawa majoriti bangsa Sabah juga menentang tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab dan membinasakan ketenteraman ini.

“Oleh itu, pihak berkuasa harus menyiasat kumpulan ini dengan kadar yang segera dan terus mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan tercetus “api kebencian” di kalangan rakyat majmuk kita,” katanya.

Jasni berkata perkara ini harus mendapat penyelesaian yang tuntas sebelum ianya menjadi tidak terkawal.

Menurutnya rakyat majmuk tidak dipaksa untuk meraikan Krismas atau mana-mana perayaan agama-agama yang lain oleh mana-mana undang-undang atau perlembagaan.

“Disebaliknya rakyat berbilang bangsa dan agama kita, memilih untuk mempertahankan keharmonian, keamanan dan keselamatan agar dapat meraikan persefahaman dan penerimaan kepelbagaian ini.

“Di Sabah, sambutan Krismas melangkaui sambutan rohaniah kerana pesanan keharmonian, keamanan, kesatu-paduan dan kekitaan dikongsikan di kalangan rakyat majmuk.

“Mereka yang tidak meraikan Krismas sebagai satu ibadat akan meraikannya dalam bentuk yang lain iaitu dengan rasa hormat dan toleransi.

“Kebersamaan begini adalah kekuatan kolektif kita sebagai rakyat Sabah dan yang telah dan akan terus menjadi benteng kepada sebarang bentuk ekstremisme,” kata Jasni.-SabahNewsToday