Pilih Bahasa

Kumpulan kebudayaan etnik Tatana bolot tiga hadiah utama pertandingan Rapou Kaamatan

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Kumpulan kebudayaan etnik Tatana dari Kuala Penyu mengungguli pertandingan Rapou Kaamatan yang buat julung kalinya dipertandingkan sempena Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini

Mereka menunjukkan kehebatan dengan memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan yang diadakan di Hongkod Koisaan di sini Isnin lalu.

Datuk Daniel Kinsik menyampaikan hadiah kepada johan Rapou Kaamatan 2019, Kumpulan Limbai Karamaian Tatana. Gambar SNT/Ihsan AJK Pelaksana

Kumpulan Limbai Karamaian Tatana berjaya menjadi johan mengalahkan lapan pasukan lain dan menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta sijil.

Manakala pasukan Lilingok Tatana pula menduduki tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi pasukan Tinimungon Koubasanan Tatana.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000 dan RM3,000 berserta sijil.

Sementara itu, pasukan Rumah Asap Dusun Tuaran pula menduduki tempat keempat dengan menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil.

Lima pasukan lain yang turut bertanding setiap satu menerima saguhati sebanyak RM1,500.

Mereka adalah pasukan Persatuan Suang Lotud Tuaran,  Pasukan Tombonuo,  Pasukan Liwan,  Pasukan Dusun Tindal dan Pasukan Seni Sama.

Daniel (tiga dari kanan), Jenifer Lasimbang (tengah) dan Datuk Freddie Sua (tiga dari kanan) bersama pemenang pertandingan Rapou Kaamatan 2019. Gambar SNT/Ihsan AJK Pelaksana

Hadiah utama disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi dan Teknikal Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019 yang juga naib presiden KDCA, Datuk Daniel Kinsik mewakili Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Infrastruktur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang,  Presiden Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah Tan Sri Wences Angang, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah. Ismaily Bungsu dan Pengerusi Pelaksana Pertandingan Rapou Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Freddie Sua.

Konsep pertandingan Rapou ini ialah persembahan drama tari dengan tema Kehidupan Masyarakat.

Kesemua kumpulan yang bertanding mengambil gambar kenangan dengan dif-dif jemputan selepas pertandingan selesai. Gambar SNT/Ihsan AJK Pelaksana

Menurut Freddie, antara objektif pertandingan drama tari ini ialah menghargai peranan suku-suku kaum di Sabah dalam membina jati diri bangsa yang kuat serta memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan etnik Dusun untuk memperkenalkan budaya masing-masing.

Pertandingan ini diilhamkan daripada gaya hidup masyarakat Dusun dahulu kala yang ‘Mangayau’ atau menjelajah dari satu kampung ke satu kampung lain samaada untuk beradu tenaga ataupun dalam apa segi saja termasuklah bersabung ayam.

“Pada mulanya kami menggunakan nama Mangayau namun kita mengubahnya kepada Rapou memandangkan Mangayau mempunyai konotasi negatif di kalangan etnik Dusun.

“Antaranya, Mangayau ini dikaitkan dengan perbuatan memenggal kepala atau Pangait pada masa dahulu dan ada juga kumpulan etnik lain yang mengaitkannya dengan peperangan antara suku,” katanya.

Jawatankuasa pelaksana membuat keputusan menggunakan perkataan Rapou yang memberi makna ‘berkunjung” ataupun “berkumpul.”-SabahNewsToday