Pilih Bahasa

Kumpulan pemuzik terkenal Taiwan hibur tetamu majlis makan malam amal

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Tommy Yen (duduk dua dari kanan) dan Lai Fui Nar (duduk empat dari kanan) ketika sidang media mengenai Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) Sesi 2019-2021 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kumpulan pemuzik terkenal Taiwan, The San Geu Tai Band bakal menghiburkan penonton sempena Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (Swepa) Sesi 2019-2021.

Pengasasnya, Tommy Yen berkata pihaknya teruja untuk membuat persembahan pada majlis berkenaan kerana ia dilihat peluang terbaik memperkenalkan muzik Hakka dibawa kumpulan itu kepada penggemarnya di Sabah.

“Kita juga difahamkan populasi masyarakat Hakka di negeri ini agak ramai. Oleh itu, mungkin ini langkah terbaik kami menambah bilangan peminat di Sabah sekaligus Malaysia.

“Salah satu lagu yang bakal dinyanyikan adalah sebuab lagu tradisional Hakka bertajuk San-Ko,” katanya.

Lai Fui Nar (duduk empat dari kanan) ketika sidang media mengenai Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) Sesi 2019-2021 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berkaitan majlis makan malam terbabit, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Swepa, Lai Fui Nar berkata Swepa berjaya mengutip dana sebanyak RM10,000 seperti yang disasarkan pihaknya.

Fui Nar berkata hasil kutipan itu bakal disalurkan kepada Sabah Autism Society pada makan malam yang berlangsung di Magellan Grand Ballroom, Sutera Harbour Resort pada 10 November ini.

Dihadiri kira-kira 600 tetamu, acara terbabit dijangka bakal dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Dalam pada itu, Fui Nar berkata pihaknya sentiasa bekerjasama untuk membantu persatuan, badan amal atau individu yang memerlukan sebagai usaha memberikan kehidupan lebih baik kepada komuniti. – SabahNews Today