Pilih Bahasa

KURANG KESEDARAN SIVIK, MPT SIASAT PELAKU VANDALISME

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tidak ada kesedaran sivik. Itu yang dapat digambarkan terhadap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab merosakkan harta benda awam di daerah ini.

Taman permainan kanak-kanak yang baru dibina dua bulan lalu oleh syarikat kontraktor yang dilantik di dua lokasi berbeza adalah antara kemudahan awam yang menjadi mangsa si pelaku vandalisme.

Salah satu alat permainan dicuri individu tidak bertanggungjawab. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Tinjauan Sabah News Today ke taman permainan yang terletak di Jalan Persisiran atau dikenali sebagai “Highway” dan di Tugu Peringatan berhampiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau mendapati, ada beberapa alat permainan mengalami kerosakan dan boleh mendatangkan risiko tinggi kepada pengguna.

Hasil tinjauan juga mendapati beberapa alat permainan juga hilang dan ada juga yang pecah serta tercabut.

Pada waktu malam pula, golongan gelandangan akan memasang kelambu di kawasan tersebut bagi memudahkan mereka berehat.

Seorang kontraktor yang turut bertanggungjawab dalam pembinaan landskap kawasan Persisiran Tawau, Wan Izwan Wan Nordin, 39, berkata, taman permainan tersebut rosak akibat cara penggunaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pemegang besi permainan gelongsor tercabut Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Salah satu punca kerosakan berlaku dimana taman permainan itu bukan saja digunakan oleh kanak-kanak, tapi ibu bapa yang melebihi had berat yang ditetapkan turut menggunakan alat permainan berkenaan.

“Sepatutnya, ibu bapa hanya memantau anak-anak mereka bermain di taman permainan itu, bukannya ikut sekali bermain sehingga mengakibatkan kerosakan,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, taman permainan yang terletak di Jalan Persisiran menjadi tempat tinggal golongan gelandangan disebabkan kawasan tersebut masih dalam proses pembinaan dan gelap.

Pada waktu malam, golongan gelandangan memasang kelambu di taman permainan tersebut sebagai lokasi rehat mereka. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Taman permainan tersebut menjadi tempat rehat mereka kerana keadaan kawasan itu yang gelap dan tidak ada pemantauan dari pihak berkuasa sekaligus memudahkan individu yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mencuri alat-alat permainan.

“Kita juga sedang dalam usaha untuk memasang lampu di kawasan Jalan Persisiran tersebut dan dijangka siap pada bulan Mac ini bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau(MPT), Alijus Sipil berkata, orang ramai perlu memberi kerjasama kepada pihak MPT untuk melaporkan sebarang aktiviti vandalisme di daerah ini.

Beliau berkata, masyarakat boleh membantu mengesan pelaku vandalisme dengan cara “slow talk” atau menegur bahawa perbuatan yang dilakukannya adalah satu kesalahan.

“Jika individu terbabit enggan memberi kerjasama, ambil gambar mereka sebagai bukti simpanan dan beri kepada pihak MPT untuk tindakan yang lebih tegas.

“Kita juga dalam usaha untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan yang terdedah dengan aktiviti vandalisme,” katanya. –SabahNewsToday