Pilih Bahasa

KV Keningau menang tujuh anugerah kebangsaan TVeT

KOTA KINABALU, 15 Feb — Kolej Vokasional (KV) Keningau merangkul tujuh anugerah berprestij kebangsaan pada Majlis Anugerah ACeTVeT yang pertama kali diadakan di Selangor, semalam.

Tujuh anugerah yang diterima adalah anugerah kecemerlangan keseluruhan ACeTVeT, inovasi institusi, pengurusan kewangan cemerlang, platinum, ikon guru serta dua anugerah inovasi individu.

Kolej Vokasional (KV) Keningau merangkul tujuh anugerah berprestij kebangsaan di Majlis Anugerah ACeTVeT yang pertama kali diadakan di Selangor, semalam.

Majlis anugerah itu dianjurkan oleh Bahagian  Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (BPLTV) untuk memberi pengiktirafan kepada kolej vokasional yang telah mencapai kejayaan memartabatkan pendidikan vokasional.

Sebanyak 85 kolej vokasional dan sembilan sekolah teknik bersaing untuk anugerah membabitkan 16 kategori yang dipertandingkan. 

Pengarah KV Keningau Johari Sabin menerima ketujuh-tujuh anugerah tersebut bersama dua lagi guru KV Keningau Al-Khalifa Mohd Affnan dan Dr Sirhajwan Idek.

“Semangat berpasukan dan kerjasama antara warga KV Keningau adalah faktor utama kejayaan membawa pulang anugerah terbanyak termasuklah anugerah utama,” kata Johari kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata KV Keningau dipilih menerima anugerah kecemerlangan ACeTVet atas pencapaian dan sumbangan dalam pelbagai bidang seperti inovasi, robotik, kemahiran, sukan, kesenian dan pengurusan dalam dan luar negara.

Anugerah inovasi institusi dimenangi berikutan pencapaian pelajar dan guru dalam bidang inovasi di dalam dan luar negara termasuklah di Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Itali, Jepun, Australia, Korea Selatan dan negara-negara Asia Tenggara.

— BERNAMA