Pilih Bahasa

Lada hitam ditanam bersama komoditi lain di kawasan Mesej – Ewon

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Tanaman lada hitam bakal ditanam bersama beberapa tanaman lain (bukan komoditi sawit dan getah) di kawasan Mini Estate Sejahtera (Mesej).

Bagaimanapun, penanaman komoditi berkenaan adalah mengikut kesesuaian tanah di sesebuah kawasan.

Ewon (duduk tiga dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain dan peserta bengkel pada Perasmian Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri Tiga Tahun 2020 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan KPLB Sabah

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata projek permulaan penanaman lada hitam dijangka  dilaksanakan di Kemabong, Tenom dalam tahun ini.

“Keluasan tanah di kawasan berkenaan sekitar hampir 400 ekar namun mengikut perancangan 100 ekar akan digunakan bagi penanaman durian musang king dan selebihnya untuk komoditi lain seperti nanas dan sayur-sayuran yang dapat memberikan pulangan cepat kepada peserta.

“Tetapi kita juga akan cuba untuk menanam lada hitam di lokasi sama dan sekiranya bersesuaian ia secara tidak langsung mampu mempelbagaikan komoditi di kawasan itu.

“Kita tidak lagi menanam kelapa sawit dan getah disebabkan berpendapat turun naik harga bagi dua komoditi ini dilihat kurang memberangsangkan.

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan cek replika skim pembiayaan pembangunan pemasaran Lembaga Lada Malaysia kepada salah seorang bekas peserta bengkel 2019 sempena Perasmian Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri Tiga Tahun 2020 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan KPLB Sabah

“Tetapi kita yakin dapat membantu penduduk luar bandar di negeri ini menerusi penanaman tanaman lain. Oleh itu, kementerian memulakannya di Kemabong sebelum diikuti  Lahad Datu dan semua tanah Mesej yang lain,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada siri tiga Tahun 2020, dekat sini, hari ini.

Disertai lebih 30 orang peserta terdiri daripada usahawan dan pekebun kecil lada, bengkel terbabit memasuki penganjuran siri ketiga selepas bengkel sama diadakan pada Januari dan awal bulan ini di Sibu serta Bintulu, Sarawak.

Dianjurkan Lembaga Lada Malaysia (MPB), bengkel berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 18 sehingga 20 Februari.

Dalam pada itu, Ewon turut menyatakan bengkal yang dianjurkan itu mampu membangunkan lebih ramai usahawan berasaskan produk lada hitam khususnya di Sabah.

Sementara itu, Ewon berkata menurut statistik dikeluarkan MPB, terdapat kira-kira 40 hektar tanah di negeri berkenaan ditanam dengan lada hitam membabitkan lebih 380 pekebun kecil yang berdaftar.

“Saya percaya jumlah berkenaan sebenarnya lebih banyak dari yang dinyatakan kerana ramai pekebun memulakan tanaman sama dengan skala kecil setiap tahun dan belum berdaftar bersama MPB.

Ewon (tiga dari kanan) menerima cenderamata sempena Perasmian Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri Tiga Tahun 2020 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan KPLB Sabah

“Ia termasuklah di kawasan Kedamaian dan saya sendiri menyediakan peruntukan bagi membantu pekebun kecil lada hitam di kawasan saya dari segi membekalkan tiang dan anak benih.

“Selain itu, kementerian juga menyediakan peruntukan untuk pembangunan keusahawanan dan industri desa serta pembangunan satu daerah satu produk.

“Ini adalah salah satu peluang yang boleh diambil oleh usahawan lada hitam di negeri ini agar dapat mengembangkan penanaman mereka selain secara tidak langsung mampu menyampaikan keperluan lain yang diperlukan kepada kementerian,” katanya. -SabahNewsToday