Pilih Bahasa

Lagi bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui

Oleh Junaidi Ladjana

Keadaan bangkai gajah ditemui di Sungai Kinabatangan. – Gambar SNT/Ihsan JHLS

KINABATANGAN: Lagi bangkai seekor gajah Pygmy Borneo ditemui terapung di Sungai Kinabatangan, di sini pagi tadi.

Penemuan bangkai gajah ini adalah yang ketiga selepas dua kejadian di Sungai Dumpas, Kalabakan, Tawau pada 25 September lalu dan di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, 19 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Hiduran Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan penemuan bangkai gajah yang terapung di sungai berkenaan.

“Susulan aduan itu sepasukan pegawai JHL Sabah sudah dihantar ke lokasi berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini sukar untuk menentukan bila dan lokasi sebenar gajah itu mati kerana ia ditemui hanyut serta terapung di sungai,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang menemui bangkai gajah berkenaan membantu menarik ke tebing sungai.

“Setakat ini kami belum menerima hasil pemeriksaan daripada pegawai di lapangan.

“Kami akan memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa,” katanya. – SabahNewsToday