Pilih Bahasa

LAGI BOT KARAM, SEORANG LELAKI DIKHUATIRI LEMAS DI LAHAD DATU

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan dikhuatiri lemas manakala seorang lagi selamat selepas bot pam yang dinaiki karam akibat dipukul ombak ketika sedang memancing kira-kira dua batu nautika dari Pantai Kampung Bangigod, Tungku, di sini, pukul 12.50 tengah hari, Sabtu lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa yang hilang dikenali sebagai Herman Gasim, 31 dan yang selamat, Mazlan Mohamad, 38.

Herman Gasim, 31, dikhuatiri lemas ketika memancing di perairan Pantai Kampung Bangigod, Tungku, Lahad Datu, Sabtu lalu.

“Menurut maklumat daripada mangsa yang selamat, kejadian tersebut berlaku pada 2 Mac ketika mereka sedang memancing sebelum bot yang dinaiki dipukul ombak kuat hingga menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam laut.

“Mangsa yang selamat dikatakan berjaya berenang ke kawasan darat yang berhampiran sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada pihak bomba,” katanya dalam kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat aset laut APMM, TLDM, JBPM dan APM. Gambar SNT/ Ihsan APMM Lahad Datu.

Terdahulu, Abdul Muhaimin berkata, maklumat awal tersebut diperoleh daripada panggilan MERS 999 yang dibuat oleh mangsa terselamat dan operasi digerakkan selepas menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada pukul 9.45 malam, 2 Mac.

Katanya, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan melibatkan empat aset laut APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Maklumat terbaru sehingga pukul 6 petang semalam, tidak ada sebarang petanda bahawa mangsa hilang itu ditemui di lokasi kejadian.

“Operasi SAR ditangguh dan akan disambung semula pada esok hari(hari ini) meliputi kawasan seluas 86 batu nautika persegi,” katanya. –SabahNewsToday