Pilih Bahasa

Lagi cubaan seludup minyak petrol ke Filipina dipatahkan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Tidak sampai 24 jam, Pasukan Polis Marin (PPM) sekali lagi merampas 450 liter minyak petrol yang cuba di seludup ke negara Filipina melalui perairan Pulau Bodgaya, di sini, pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata hasil maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM), pihaknya berjaya memintas perahu yang dinaiki seorang suspek dalam lingkungan usia 60an disyaki cuba seludup keluar minyak petrol terbabit.

Minyak petrol yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas oleh PPM Semporna. Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

“Hasil pemeriksaan dalam ruangan perahu, kita menemukan 18 jerikin berisi 450 liter minyak petrol disyaki cuba diseludup ke negara Filipina.

“Suspek yang juga warganegara Filipina gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan membawa barangan itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata suspek dan barangan rampasan bernilai RM5,836 dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan kawalan bekalan,” katanya. – SabahNewsToday