Pilih Bahasa

Lagi kes tanam tong berisi petrol di pesisir pantai

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) sekali lagi menemukan sembilan tong berisi petrol yang ditanam di kawasan pesisir pantai Kampung Sibahat, Felda Sahabat, dekat sini, semalam.

Petrol dianggarkan bernilai RM437 itu ditemui dalam operasi yang dijalankan pasukan Unit Risikan Marin (URM), pukul 5.30 petang.

Taktik baharu suspek menanam jerikin minyak petrol sebelum individu lain membawa minyak terbabit ke negara Filipina. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, taktik baharu ini digunakan suspek dengan menanam tong berisi petrol sebelum individu lain datang menaiki bot dan mengambilnya untuk diseludup ke Filipina.

“Ia adalah modus operandi terbaru suspek bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa dalam aktiviti-aktiviti penyeludupan.

“Kita sedang menyiasat dalang kegiatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua tong berisi petrol dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961,” katanya.-SabahNewsToday