Pilih Bahasa

LAGI PENEMUAN SEEKOR BUAYA DI SUNGAI KALABAKAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Penduduk di daerah ini digemparkan lagi dengan penemuan seekor buaya di perairan Sungai Kalabakan, Tawau. – Gambar SNT / Ihsan Media Sosial

TAWAU: Penduduk di daerah ini digemparkan lagi dengan penemuan seekor buaya di perairan Sungai Kalabakan di sini hari ini.

Video berdurasi 30 saat yang tersebar di media sosial menunjukkan seekor buaya berada di permukaan air berhampiran jeti sungai terbabit.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Bahagian Tawau, Sailun Aris ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu tindakan memasang perangkap di kawasan berkenaan akan dilakukan.

Menurutnya, JHLS turut menerima aduan daripada penduduk yang melihat kemunculan sang bedal itu pukul 11 pagi tadi. 

“Sama seperti di Sungai Tawau, pihak JHLS juga telah memasang papan tanda amaran buaya di Sungai Kalabakan.

“Aduan kehadiran buaya seperti dalam video juga sudah kita terima dan tindakan memasang perangkap juga akan dibuat untuk menangkap buaya tersebut,” katanya.

Jabatan Hidupan Liar Sabah Bahagian Tawau akan memasang perangkap di kawasan berkenaan. – Gambar SNT / Ihsan Media Sosial

Beliau turut menasihati penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya berhati-hati untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya, Chung Siang Ying menghantar aduan kepada JHLS daerah ini bagi mempercepat tindakan menangkap dua ekor buaya yang sering dilihat penduduk di kawasan perparitan Jalan Sin Onn.

Aduan tersebut dibuat selepas salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian melihat buaya terbabit kira-kira pukul 12 tengah hari pada 20 Februari lalu.

Susulan laporan tersebut, pihak JHL bertindak memasang perangkap buaya di kawasan perparitan Jalan Sin Onn, 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, setakat ini pihak JHL belum berjaya menangkap reptilia tersebut. – SabahNewsToday