Pilih Bahasa

Lagi premis dikompaun RM5,000 buat sambungan paip haram

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Walaupun penguatkuasa Jabatan Air daerah ini kerap menjalankan operasi pemotongan penyambungan paip air secara haram, namun masih ramai pemilik syarikat dan kedai-kedai yang tidak gentar dengan tindakan kompaun yang dikenakan.

Hari ini, sebuah lagi kedai butik yang sedang melakukan pengubahsuaian dalaman premis yang terletak di Jalan Chester Tawau dikenakan kompaun RM5,000 atas kesalahan membuat penyambungan paip secara haram.

Kedai butik yang sedang melakukan pengubahsuaian dalaman premis yang terletak di Jalan Chester Tawau dikenakan kompoun RM5,000 atas kesalahan membuat penyambungan paip secara haram. Gambar SNT / Ihsan Jabatan Air Tawau

Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen berkata pihaknya yang menjalankan operasi pukul 3 petang itu mengesan dan melakukan tindakan pemotongan paip serta-merta di premis terbabit.

“Kita mendapati premis berkenaan membuat penyambungan paip air secara haram dan kita bertindak melakukan pemotongan paip tersebut serta mengenakan kompaun RM5,000.

“Di sini saya ingin menegaskan pemilik syarikat atau kedai harus mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan jika tidak mahu dikenakan kompaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Air Tawau mendapati premis berkenaan membuat penyambungan paip air secara haram dan bertindak melakukan pemotongan paip tersebut serta mengenakan kompaun RM5,000. Gambar SNT / Ihsan Jabatan Air Tawau

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan mana-mana individu yang dikenakan tindakan kompaun sebelum ini untuk menjelaskan bayaran kompaun dengan segera sebelum pihak Jabatan Air Tawau mengambil tindakan mahkamah.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003,”katanya. – SabahNewsToday