Pilih Bahasa

Lagi produk kesihatan, barangan kawalan bernilai RM94,850 dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas produk kesihatan tidak berdaftar dan pelbagai barangan kawalan bernilai RM94,850 di perairan Batu 3 Tawau. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan cubaan seorang juragan Indonesia membawa keluar 1,843 kotak produk kesihatan tidak berdaftar dan pelbagai barangan kawalan bernilai RM94,850, di perairan Batu 3, di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, Unit Risikan Marin (URM) menjalankan intipan selama 40 minit terhadap bot jongkong mencurigakan yang berada diperairan terbabit sebelum bertindak memintasnya pukul 8.25 malam.

“Kita kemudian mendapati seorang juragan yang memegang pasport Indonesia berusia 38 tahun berada di dalam bot terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui 1,843 kotak produk kesihatan Vitamin C jenama Chatuchak Bangkok yang kesemuanya berjumlah 18,430 botol kecil dan berisi 2 mililiter (ml) setiap satu botol.

“Siasatan mendapati, produk terbabit tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menemui 10 unit tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 paket minyak masak berjenama.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan kebenaran membawa barangan terbabit daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Semua barangan dirampas dan dibawa ke Markas PPM Tawau untuk siasatan lanjut,”katanya.

Kes disiasat dibawah Akta Racun 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pada 10 April lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) telah dilaporkan merampas produk kesihatan terlarang bernilai RM16,044 dipercayai ditinggalkan pemiliknya sejurus melihat kehadiran pihak penguatkuasa di jeti CIQ Lama di sini.- SabahNewsToday