Pilih Bahasa

Lagi SJR Op Covid-19 dirempuh kenderaan Ford Ranger

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu sedang mengesan sebuah kenderaan pacuan empat jenis Ford Ranger yang merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19, di Jalan Kolombong, di sini, malam tadi.

Akibat kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan kerosakan pada papan tanda (Essential Services), kon dan lampu.

Keadaan di kawasan SJR Jalan Kolombong yang dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda semalam. Gambar SNT/Ihsan Polis

Bagaimanapun petugas terdiri dua anggota polis, tiga tentera dan dua Rela tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ketika kejadian semua petugas SJR Op Covid-19 baru selesai berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang giat mengesan kenderaan berkenaan.

ACP Habibi Majinji. Gambar Fail SNT

“Ketika kejadian, kenderaan jenis Ford Ranger warna kelabu dengan nombor pendaftaran KM95 bergerak dari Jalan Tuaran Bypass menghala ke Jalan Lintas.

“Pemandu itu dipercayai memandu laju melepasi SJR lalu merempuh papan Essential Services, kon dan lampu sebelum melarikan diri,” katanya.

Habibi berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha untuk mengesan suspek giat dilakukan.

Papan tanda Essential Services yang dirempuh dalam kejadian di SJR Jalan Kolombong semalam. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Pada jam 9.35 malam, 3 April lalu, kejadian sama berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Ford Ranger merempuh SJR di lokasi sama dan terus melarikan diri

Suspek lelaki berusia 28 tahun bagaimanapun berjaya ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 5 April lalu. – SabahNewsToday