Pilih Bahasa

Lagu rentak Sumazau berpotensi diketengah ke persada antarabangsa: Ewon

Oleh Alfred Petrus

Dabra (depan kanan) menerima dokumen MoU dari syarikat Sony Malaysia. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA KINABALU: Pencipta lagu tempatan diminta lebih kreatif mencipta lagu berentak sumazau dengan menggunakan bahasa asing seperti Inggeris mahupun Mandarin agar boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata lagu-lagu itu secara tidak langsung akan mempromosi dan memperkenalkan keunikan kebudayaan pelbagai masyarakat Sabah terutamanya Kadazandusun dan Murut (KDM).

“Selama ini, ada artis tempatan kita telah menggubah lirik ke bahasa tempatan beberapa lagu yang berasal dari negara lain tetapi masih mengekalkan rentak irama lagu tersebut. 

“Ia mendapat sambutan dalam kalangan pendengar seluruh negara kita seperti lagu yang berasal dari negara barat, Korea, Jepun, tagalog, mandarin dan sebagainya. 

“Saya berpendapat kita juga boleh mengeksport lagu-lagu kita dengan rentak Sumazau ke persada antarabangsa,” katanya.

Eylia (depan kanan) menerima kontrak bersama Broadway Entertainment dalam majlis berkenaan sambil di saksikan oleh Ewon (belakang dua kiri). – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pemenang johan Sugandoi Kaamatan Sabah 2019, Dabra Sia Ying Ying dengan syarikat Sony Malaysia dan juga Kontrak Eksklusif antara naib johan Sugandoi 2019, Eylia Eyre Guntabid dengan syarikat Broadway Entertainment (M) Sdn Bhd di Kokol Haven Resort, Menggatal di sini hari ini.

Tambahnya kemungkinan para pencipta lagu tempatan mahupun penyanyi tempatan boleh memulakannya dengan mencipta lagu-lagu dalam Bahasa Inggeris, Mandarin atau bahasa utama lain dengan mengekalkan rentak Sumazau supaya mudah dihayati oleh para pendengar antarabangsa.

Dalam majlis berkenaan, Dabra akan menjadi duta kepada syarikat Sony Malaysia selama setahun.

Eylia pula bakal bernaung dan menjadi artis rakaman syarikat Broadway Entertainment (M) Sdn Bhd selama dua tahun bermula 26 Disember tahun ini. – SabahNewsToday