Pilih Bahasa

Lahad Datu juara bola jaring B-18 MSSS

Oleh Sabah News Today

KENINGAU: Lahad Datu menewaskan Keningau 27-26 untuk muncul juara kejohanan bola jaring bawah 18 tahun (B-18) peringkat Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) baru-baru ini.

Kejohanan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 2 dan SMK Gunsanad 2, di sini.

Pasukan Lahad Datu (belakang tengah), Keningau (belakang kiri) dan Telupid (kanan) bersama dengan para pegawai selepas upacara penyampaian hadiah. Gambar SNT/Ihsan MSSS

Perlawanan akhir diadakan di SMK Gunsanad 2.

Sementara itu, kehebatan pasukan Lahad Datu terserlah dengan tiga pemainnya turut menerima anugerah khas.

Tiga pemain itu ialah Nurul Khairiah Kennedy yang dipilih sebagai penyerang terbaik, Nur Shazelin Akrie (pertahanan terbaik) dan Dayang Iderina Abdullah (pemain terbaik kejohanan).

Anugerah penjaring terbanyak pula dimenangi oleh Janet Lee Li Ching dari pasukan Tuan Rumah dengan 156 jaringan.

Penerima anugerah kejohanan (berdiri di belakang) bersama para pegawai. Gambar SNT/Ihsan MSSS

Tempat ketiga jatuh kepada pasukan Telupid manakala Tawau di tempat keempat.

Kejohanan itu juga menyaksikan seramai 16 pemain diumumkan sebagai pemain terbaik berdasarkan pemerhatian panel pemilih di sepanjang kejohanan berkenaan.

Terdahulu, majlis penutupan kejohanan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting.

“Tahniah kepada semua pemenang dan juga kepada kesemua 24 pasukan daripada setiap daerah seluruh negeri Sabah atas penyertaan dalam kejohanan pada kali ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Keningau selaku penganjur kejohanan dan berharap agar semua pemain yang terpilih mewakili Sabah akan sentiasa menyemat semangat juang yang tinggi dalam memburu kemenangan di peringkat kebangsaan seterusnya mencapai sasaran untuk menjadi antara lima pasukan terbaik,” katanya.

Lahad Datu, juara Bola Jaring B-18 MSSS menerima hadiah. Gambar SNT/Ihsan MSSS

Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Masly Wahip yang turut hadir dalam ucapannya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan pasukan yang bertanding.

“Syabas juga di atas usaha penganjur dalam memastikan kelancaran dan usaha menaik taraf sistem penganjuran kejohanan kali ini.

“Saya berharap agar pasukan Sabah terus menyinar pada peringkat kebangsaan kelak dan meneruskan kecemerlangan mereka dalam permainan bola jaring,” katanya.-SabahNewsToday