Pilih Bahasa

Laluan terus ke Jalan Light Industry akan dibina semula: Aidi Moktar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

PAPAR: Aktiviti perniagaan di kawasan Light Industry di Pekan Papar dijangka hidup semula apabila kerajaan negeri bersetuju membina semula laluan di situ.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar bahawa pembinaan jalan itu akan merancakkan kembali aktiviti ekonomi para peniaga dan penduduk sekitar kawasan.

Aidi (dua dari kanan) bersama pegawai dari Pejabat Daerah papar dan JKR daerah melakukan tinjauan di Jalan Light Industry Papar. – Gambar SNT/Ihsan Dun Pantai Manis

“Kita serahkan kepada jurutera Jabatan Kerja raya (JKR) untuk merancang pelan pembinaan laluan itu secepat mungkin kerana masalah berkaitan teknikal mereka (jurutera) sahaja yang akan dapat diselesaikan.

“Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi tetapi dalam masa sama kita berharap proses pembinaannya akan dilakukan secepat mungkin dan kita minta para peniaga juga dapat bersabar,” katanya.

Aidi (kanan) dan beberapa pegawai dari Pejabat Daerah papar dan JKR melawat tapak cadangan pembinaan jambatan kedua di Kampung Buang Sayang Papar. – Gambar SNT/Ihsan Dun Pantai Manis

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke kawasan Jalan Spur hingga ke Jalan Light industry di Pekan Papar di sini hari ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri itu berkata rancangan membina semula laluan itu adalah sebagai memenuhi hasrat dan permintaan peniaga yang kehilangan mata pencarian berikutan penutupan laluan masuk ke Light Industry.

Katanya projek pembesaran membabitkan Jalan Papar Spur dua lorong di hadapan laluan ke Light Industry menyebabkan banyak kedai-kedai di kawasan itu ditutup kerana tiada lagi laluan pemisah yang ada sebelum ini.

Keadaan itu jelasnya menyebabkan orang ramai yang hendak ke kedai di Light Industry terpaksa membuat pusingan di bulatan di depan sejauh 200 hingga 300 meter selain perlu melalui kesesakan lalu lintas.

Dalam perkembangan berkaitan Aidi mahu kerajaan negeri mempercepatkan kelulusan cadangan pembinaan jambatan kedua di Kampung Buang Sayang, Papar.

“Cadangan telah kami hantar kepada Kabinet dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri menyatakan beliau akan berusaha mencari peruntukan untuk pembinaan jabatan kedua itu.

“Saya fikir paling lewat pun projek membina jambatan ini akan dimulakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan pihak JKR menganggarkan kos keseluruhannya bernilai RM45 juta,” katanya.

Aidi berkata keperluan jambatan kedua itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sangat teruk di Papar terutama pada musim perayaan. – SabahNewsToday