Pilih Bahasa

Lam Thye tinggalkan legasi bersama Niosh, umum undur diri

Oleh Alfred Petrus

Lee Lam Thye. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye mengumumkan akan menamatkan perkhidmatannya selepas 27 tahun berkhidmat sehingga Niosh dikenali dalam kalangan pemain industri.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar di pejabatnya hari ini dan penamatan kontrak berkenaan berkuat kuasa pada 20 September ini.

Lam Thye berkata beliau bangga kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik untuk memastikan Niosh menjadi satu badan yang mantap dan kuat diterima oleh pemain industri dari segi promosi keselamatan dan kesihatan pekerja, penyediaan latihan dan kemahiran bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja.

“Usaha selama ini sangat berbaloi dan bernilai bagi saya. Walaupun sedih untuk meninggalkan Niosh, namun jika perkhidmatan saya tidak diperlukan lagi, saya tiada pilihan untuk meninggalkan badan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Lee berkata beliau akan terus bergiat aktif kerana memegang tiga jawatan penting dalam tiga organisasi Semenanjung.

Katanya buat masa ini beliau juga memegang jawatan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pengerusi Yayasan Eco World yang membantu lebih 3,000 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

“Saya perlu mencari dana sejumlah RM4 juta setiap tahun untuk melaksanakan program bagi membantu pelajar-pelajar berkenaan di bawah yayasan ini.

“Saya menyerahkan hidup saya untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya tidak ada perniagaan, saya bukan ahli perniagaan.

“Saya hanya seorang aktivis yang membantu rakyat mahupun haiwan kerana saya berminat dengan kebajikan haiwan juga,” katanya. – SabahNewsToday