Pilih Bahasa

Lampoopalooza pertama di Jalan Gaya

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Assaffal (tengah, duduk) bersama warga STB menunjukkan poster Lampoopalooza pada sidang media di Pejabat STB. – Gambar SNT

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menganjurkan Lampoopalooza yang melibatkan aktiviti `Instalasi Seni’ pada 5 April ini di perkarangan Bangunan STB di Jalan Gaya sempena ulang tahun bangunan tersebut.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assaffal P. Alian berkata acara itu akan dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Christina Liew.

Menurut Assaffal Lampoopalooza bakal menampilkan pemasangan lampu-lampu dengan teknik pencahayaan kreatif di bangunan dan kawasan sekitar Jalan Gaya secara tidak langsung mempromosikan jalan tersebut sebagai laluan terkenal dan bermakna di Kota Kinabalu.

Assaffal (dua dari kanan) pada sidang media sempena penganjuran Lampoopalooza di STB. – Gambar SNT

“Lampoopalooza merupakan susulan daripada acara sambutan 100 Tahun Bangunan STB yang melibatkan persembahan pemetaan video di bangunan tersebut yang julung kali diadakan pada tahun lalu.

“Kami sangat teruja untuk meneruskan acara inovasi yang akan diadakan di bangunan warisan ini dan tentunya menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa kerana acara seperti itu bakal menonjolkan lagi Bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya terkenal dan meriah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Assaffal berkata dengan bantuan pakar pemasangan lampu kreatif dan komuniti yang bekerja keras serta orang awam yang kerap berkunjung ke sini, Jalan Gaya akan berubah menjadi sesuatu yang akan mengujakan orang ramai.

Beliau menambah persembahan kemuncak acara ini adalah paparan visual luar paling besar dilakukan atas bangunan STB.

Bangunan STB dirasmikan pada 1918 oleh Gabenor Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, kemudian diubah suai untuk menempatkan pejabat perbendaharaan, audit, bank dan pejabat pos sehingga 1986 sebelum diwartakan secara rasmi oleh kerajaan negeri sebagai bangunan bersejarah pada 1988.

Bangunan itu telah menjalani pemulihan sebelum dibuka semula pada 1991 sebagai Perbadanan Kemajuan Pelancongan Sabah yang kini dikenali sebagai Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah. – SabahNewsToday