Pilih Bahasa

LANGGAR SYARAT LESEN, BOT NELAYAN PUKAT TUNDA DITAHAN

Oleh Mohd Adam Arinin

Bot nelayan pukat tunda sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kedudukan kurang 3 batu nautika dari daratan. Gambar SNT/Ehsan APMM

LAHAD DATU: Sebuah bot nelayan pukat tunda disyaki melanggar syarat lesen perikanan berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada malam Khamis.

Pegawai Operasi Zon Maritim Lahad Datu Leftenan Madya Maritim Mohd Feerdaus Daud berkata tangkapan tersebut dibuat kira-kira pukul 9.30 malam apabila sebuah bot peronda APMM mengesan dan menahan sebuah bot semasa sedang leka menangkap ikan di kedudukan lebih kurang 1.4 batu nautika Tenggara Tebah Batang.

“Turut ditahan enam orang kru bot termasuk seorang tekong yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 42 tahun warganegara Indonesia dan Bajau Palauh.

“Semasa pemeriksaan, tekong bot telah mengemukakan lesen bot dan dokumen pengenalan diri yang sah beserta dokumen awak-awak.

Bot nelayan yang ditangkap semalam. Gambar SNT/Ehsan APMM

“Bot tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohd Feerdaus berkata kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat lesen iaitu bot tersebut perlu menangkap ikan di jarak 3 batu nautika dari daratan.

Jelasnya jika disabitkan kesalahan, pemilik bot boleh dikenakan kompaun atau denda maksimum RM1,000.

Sementara itu, tambahnya tangkapan tersebut adalah sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan kepada pelanggaran Akta Perikanan 1985 di laut.

Beliau turut menegaskan, APMM akan terus menggandakan usaha bagi mencegah berlakunya sebarang kejadian di laut.

“APMM juga sedaya upaya mengekang pencerobohan bot nelayan asing terutama di perairan Sabah daripada menghantui komuniti maritim setempat,” jelasnya. -SabahNewsToday