Pilih Bahasa

Lantik hanya Kontraktor Elektrik Berdaftar & Kompeten

KOTA KINABALU: Pelanggan yang ingin membuat pendawaian dalaman serta membuat permohonan bekalan elektrik ke premis perlu melantik kontraktor yang berdaftar dan kompeten dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Perkara ini adalah amat penting bagi memastikan  rekabentuk, pepasangan dan sistem elektrik tersebut  mematuhi segala peruntukan yang telah ditetapkan oleh pengawalselia iaitu Suruhanjaya Tenaga dan SESB.

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata ia juga bagi memastikan pemasangan dalaman adalah selamat.

SESB tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan atau yang berlaku semasa atau selepas ujian akibat sebarang kecacatan pada pendawaian dalaman itu. 

Sehubungan dengan itu, beliau menambah adalah menjadi tanggungjawab Kontraktor
Elektrik Berdaftar & Kompeten untuk memastikan pendawaian dalaman yang dibuat  adalah selamat digunakan.

Senarai nama-nama kontraktor berdaftar dan kompeten ada disediakan oleh SESB ketika permohonan bekalan elektrik domestik dimajukan kepada pejabat SESB.

Permohonan bekalan elektrik boleh dibuat secara individu, melalui kontraktor yang dilantik ataupun secara pukal/berkelompok oleh pemaju perumahan.

Sebelum kerja-kerja pendawaian dalaman rumah dibuat, kontraktor akan membuat lawatan tapak, mengenal pasti keperluan beban pengguna dan kelengkapan elektrik yang sesuai digunakan, mengemukakan pelan, lukisan dan spesifikasi premis rumah. 

Bagi pemohon yang menyewa tanah/rumah, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada tuan punya tanah/rumah sebelum mengemukakan permohonan SESB.

Salinan dokumen hak milik rumah contohnya geran tanah, salinan sewa milik, atau sebagainya yang boleh dijadikan bukti permilikan.

Abdul Nasser juga berkata bahawa terdapat dua jenis permohonan meter elektrik iaitu meter 1 fasa dan 3 fasa samaada untuk kegunaan domestik, komersial dan industri. 

Permohonan bekalan elektrik fasa tunggal adalah untuk penggunaan unit tenaga antara 1 kWh hingga 10 kWh contohnya rumah teres, pangsapuri kos rendah dan rumah kampung.

Meter elektrik fasa tunggal digunakan di bangunan kediaman, kerana penggunaan sumber ini dalam kehidupan seharian tidak terlalu besar.

Permohonan bekalan elektrik tiga fasa adalah untuk penggunaan tenaga yang tinggi. contoh rumah semi-d dan rumah banglo lebih dari satu tinggkat, kondominium mewah dan premis perniagaan.

Pengguna juga boleh membuat permohonan naik taraf jika penggunaan bebanan elektrik 1 fasa sedia ada bertambah yang memerlukan naik taraf ke bekalan tiga fasa.

Bagi permohonan secara individu, pemohon sendiri dikehendaki untuk memajukan borang permohonan disertakan dengan dokumen-dokumen berkaitan ke pejabat SESB yang berdekatan.

Manakala pemohon yang melantik kontraktor untuk berbuat demikian hendaklah memajukan surat kebenaran mewakilkan kontraktor yang dilantik untuk berurusan dengan pejabat SESB.

Untuk permohonan secara pukal, pemaju perumahan hendaklah menghantar borang permohonan secara pukal dengan mengisi satu borang permohonan bagi pihak pemaju berserta dengan permohonan setiap pemilik rumah.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai permohonan bekalan elektrik boleh menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan SESB di talian 15454 atau mendapatkan maklumat melalui laman sesawang SESB di alamat https:www.sesb.com.my.-SabahNewsToday