Pilih Bahasa

LANTIKAN KETUA ADAT, KETUA KAMPUNG SOOK DIBANTAH DAP PENSIANGAN DAN PENDUDUK

Oleh Alfred Petrus

Penduduk kampung Tiulon membuat bantahan selepas penyampaian watikah pelantikan hari ini yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal, Jannie Lasimbang di Sook. Gambar SNT/Ehsan DAP Pensiangan

SOOK: DAP Pensiangan kecewa dengan proses perlantikan Ketua Adat dan Ketua-ketua Kampung di bahagian Dewan Undangan Negeri (Dun) Sook yang diadakan hari ini.

Penyelaras DAP Sook merangkap Ketua Wanita DAP Pensiangan Clare Taunek berkata perjumpaan dan perbincangan hanya dibuat sekali sahaja sebelum penyerahan watikah itu dijalankan.

Tambahnya hampir kesemua nama yang dicadangkan oleh DAP juga telah ditolak oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Selepas pertama kali mengadakan perjumpaan itu, tidak ada perbincangan susulan dan keputusan terakhir hanya dibuat oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM).

Clare (dua kanan) bersama Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi DAP Pensiangan. Gambar SNT/Ehsan DAP Pensiangan

“Nampak jelas keputusan hanya diambil tanpa merujuk kepada pimpinan DAP yang ada di dalam Dun Sook,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Jelasnya, DAP Pensiangan juga tidak mengiktiraf perlantikan tersebut.

“Kita tidak mengiktiraf perlantikan ini, kerana tidak menghormati proses yang telah ditentukan oleh Majilis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan Pejabat Daerah.

“Proses pemilihan yang sepatutnya melalui bidang kuasa Pejabat Daerah Kecil Sook telah diambil alih oleh pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

“Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku. DAP Sook sudah bekerja lama di kawasan Sook sebelum wujudnya Warisan,” katanya.

Clare menegaskan tanpa persetujuan DAP Sook, tidak mungkin Warisan dapat meletakkan calon bertanding Dun Sook pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Oleh itu, jelasnya DAP Sook tidak sepatutnya dipinggirkan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan pembangunan Daerah Sook.

Manakala itu, beberapa penduduk Kampung Tiulon melahirkan kekecewaan dengan pelantikan Ketua Kampung mereka.

Mereka mendakwa individu yang dilantik bukan berasal dari kampung Tiulon dan bukan juga dari kalangan penduduk kampung.

Penduduk kampung Tiulon turut meminta agar proses lantikan dijalankan secara undian.-SabahNewsToday