Pilih Bahasa

Lapan anggota Geng Afiq termasuk dua dalang utama diberkas

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan kumpulan curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Afiq’ yang aktif mencuri motosikal di daerah ini dan beberapa daerah lain berikutan tertangkapnya lapan anggota kumpulan itu termasuk ketuanya berusia 16 dan 17 tahun.

Semua suspek berusia lingkungan 16 hingga 22 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Tuaran sejak 5 September lalu hingga Sabtu lalu.

George bersama pegawai menunjukkan motosikal yang dirampas susulan penahanan lapan anggota Geng Afiq. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang peniaga yang menyatakan motosikal miliknya diletakkan ditepi bangunan Wisma Sabah hilang disyaki dicuri pada 15 Julai lalu.

“Bertindak atas laporan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menubuhkan pasukan khas bagi mengesan dalang kejadian curi motosikal berkenaan.

George (tengah) melihat pelbagai komponen motosikal yang disyaki dicuri. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Hasilnya berjaya menahan dua lelaki disyaki terbabit kes curi motosikal di sekitar daerah ini pada 5 September lalu dan kedua-dua suspek berusia 16 dan 17 tahun ini adalah dalang utama curi motosikal dikenali sebagai Geng Afiq.

“Soal siasat membawa kepada penahanan enam lagi lelaki disyaki anggota kumpulan berkenaan di daerah ini, Penampang dan Papar pada 6 dan 7 September,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Pelbagai komponen motosikal disyaki dicuri berjaya dirampas. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

George berkata berikutan penahanan semua suspek terbabit, polis merampas 13 motosikal disyaki dicuri dan menyelesaikan 10 kes curi motosikal di daerah ini.

“Sepuluh daripada 13 motosikal itu adalah jenis Honda EX5 manakala selebihnya jenis Yamaha, Demak dan pelbagai komponen motosikal yang sudah dileraikan turut dirampaa. Keseluruhan rampasan bernilai RM40,000.

“Siasatan mendapati, dua ketua kumpulan ini dipercayai perancang manakala selebihnya mencuri, menjual dan meleraikan dengan mengambil komponen motosikal dan menjual kepada individu tertentu.

“Siasatan juga mendapati kumpulan terbabit aktif melakukan kegiatan curi motosikal sejak awal tahun ini berdasarkan motosikal yang dicuri.

“Modus operandi Geng Afiq ini menyasarkan mencuri motosikal jenis Honda EX5 kerana lebih mudah untuk dicuri selain permintaannya yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, empat suspek adalah warga tempatan manakala empat lagi adalah warga asing.

“Ketua kumpulan berusia 16 dan 17 tahun mempunyai kes lampau iaitu memilik barang curi dan terbabit penyalahgunaan dadah.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam curi motosikal,” katanya. -SabahNewsToday