Pilih Bahasa

Lapan balai bomba bakal dibina di Sabah tahun ini

Oleh Junaidi Ladjana

Zuraida menurunkan tandatangan pada plak tanda simbolik perasmian BBP Kimanis. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

PAPAR: Sebanyak lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bakal dibina di Sabah pada tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata lapan BBP ini dibina di kawasan Putatan, Kudat, Pitas, Merotai, Nabawan, Lahad Datu, Semporna dan Beaufort.

“Selain itu, kita juga akan menaik taraf dua BBP iaitu di Kota Belud dan Semporna. 

“In sha Allah kita membantu kerajaan Sabah untuk menyediakan perkhidmatan kebombaan agar dapat memberi khidmat yang lebih menyeluruh kepada rakyat di negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian BBP Kimanis di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Zuraida bergambar kenangan selepas merasmikan BBP Kimanis. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Zuraida berkata pihaknya juga dalam perancangan untuk menambah jentera di Sabah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kebombaan di negeri ini.

Katanya Sabah adalah negeri yang luas dan mempunyai pelbagai bentuk geografi termasuk kekangan prasarana jalan raya yang kurang baik menyebabkan jentera bomba mudah rosak.

“Kita akan menambah jentera khusus bagi kekangan itu dan turut menambah bilangan keanggotaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian BBP Kimanis, Zuraida berkata majlis itu bertujuan memaklumkan penduduk setempat berkenaan penubuhan balai bomba baharu di Kimanis yang berfungsi untuk memberi perkhidmatan kecemasan kepada penduduk setempat termasuk kawasan bersempadan seperti Papar dan Beaufort.

“BBP Kimanis menempatkan 30 pegawai dan anggota dan ini akan mempercepatkan lagi respons kecemasan di kawasan Kimanis,” katanya. – SabahNewsToday