Pilih Bahasa

Lapan ditahan dan pelbagai senjata api buatan sendiri dirampas dalam tangkapan senjata api terbesar negeri ini

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) bersama Cawangan Khas Kontinjen Sabah berjaya merampas pelbagai senjata api termasuk bakakuk, senapang dan pistol angin serta ratusan peluru hidup dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kinaratuan, Ranau, 6 Ogos lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata serbuan yang turut dibantu oleh pegawai dan anggota dari IPD Ranau itu telah berjaya menahan seramai lapan suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam rampasan senjata api terbesar di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (tiga kanan) menunjukkan senjata jenis bakakuk yang dirampas ketika serbuan di sebuah kampung di Ranau pada sidang media di IPK Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arnin

“Selepas memperkenalkan diri, pasukan serbuan seterusnya melakukan pemeriksaan di bilik tidur di rumah berkenaan.

“Di dalam bilik tidur tingkat bawah rumah itu, terdapat seorang suspek lelaki berusia 61 tahun dan polis berjaya menemukan empat laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk. Turut ditemui dalam bilik suspek pelbagai jenis peluru tabur.

“Pasukan serbuan turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 41 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumah terbabit di mana turut dijumpai selaras senapang angin dan sepucuk pistol angin jenis Glock selain menjumpai pelbagai jenis peluru termasuk 39 butir peluru jenis 9mm, 506 butir peluru .22 dan 611 butir jenis 5.56mm serta peluru tabur serta ratusan kelongsong peluru dari jenis .22 dan 12 Gore,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Sepucuk pistol buatan sendiri yang berjaya dirampas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Hadir sama Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Datuk Suhaimi Deraman dan Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superitendan Mohd Shahrul Datuk Abdul Wahab.

Menurut Zaini, salah seorang suspek yang ditahan telah memandu arah kepada pasukan serbuan ke sebuah stor di belakang rumah yang disyaki dijadikan tempat pembuatan senjata api.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass bersama Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah SAC Datuk Suhaimi Deraman melihat salah satu senjata yang dirampas ketika serbuan di sebuah kampung di Ranau pada sidang media di IPK Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arnin

“Dalam stor tersebut, pasukan serbuan menemukan senjata bakakuk yang telah siap dipasang dan yang belum disiapkan serta pelbagai komponen senjata dan mesin pemotong besi yang dipercayai digunakan untuk membuat senjata buatan sendiri,” katanya.

Berdasarkan pendedahan daripada suspek, pihak polis juga telah membuat pemeriksaan di sebuah pondok yang terletak 150 meter dari rumah terbabit.

“Pihak polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 29 tahun bersama senjata angin jenis rifel Steven Air dan pelbagai jenis peluru turut dirampas dalam serbuan itu,” jelasnya.

Kelongsong peluru tabur antara jenis peluru yang dirampas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Susulan penangkapan di Kampung Kinaratuan itu, polis turut menyerbu beberapa rumah di Kampung Tanah Merah, Kampung Kapatahan, Kampung Debut, dan Kampung Lohan Ulu pada hari yang sama dan keesokkan hari.

“Pihak polis telah menahan empat lagi lelaki tempatan berumur lingkungan 46 tahun hingga 83 tahun dan berjaya merampas selaras senjata api Remington Speed Master, dua laras senapang angin, sepucuk pistol buatan sendiri dan pelbagai jenis peluru.

“Manakala pada keesokkan harinya pula, pihak polis telah membuat tangkapan keatas seorang lelaki lingkungan 30-an yang bekerja sebagai anggota tentera di Kem Lok Kawi,” katanya.

Sepucuk pistol angin jenis Glock yang dirampas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kesemua suspek kini telah direman bagi membantu siasatan kecuali dua orang suspek yang diberikan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu menjalankan perdagangan senjata api dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebat tidak kurang daripada enam kali.

“Kejayaan ini membuktikan PDRM khususnya Polis Kontinjen Sabah yang sentiasa komited dalam usaha membanteras pembuatan dan penggunaan senjata api buatan sendiri di Sabah.

“Saya turut ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai dan anggota yang terlibat dalam menjalankan operasi ini,” katanya. -SabahNewsToday