Pilih Bahasa

Lapor maklumat tidak sahih, bersifat perkauman untuk disiasat

Christina Liew. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

TAWAU, 16 Sept  — Penduduk Sabah disaran tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kebenarannya serta bersifat perkauman, sebaliknya melaporkan terus kepada agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata semua pihak berperanan mengambil langkah berhati-hati serta memiliki sensitiviti yang tinggi sebelum menyebar atau berkongsi sebarang maklumat khususnya yang bersifat perkauman di laman sosial.

“Saya harap agar semua pihak perlu berhati-hati dalam menyebar atau berkongsi sebarang kenyataan atau berita di laman media sosial dan internet, perlu sentiasa berhemah bagi membanteras penularan berita palsu, agar keamanan dan kemakmuran sentiasa terkawal dan dilindungi,” katanya pada Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat perbandaran Tawau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu berkata, penduduk Sabah perlu mengekalkan hubungan harmoni yang terjalin dan saling hormat menghormati.

“Negeri Sabah ini memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian bangsa, budaya dan agama sebab itu perpaduan dan toleransi sangat penting untuk mengukuhkan kedaulatan dan pembangunan negara”

Pada masa yang sama Liew juga berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini adalah berkat jasa bakti dan pengorbanan pejuang serta anggota keselamatan yang sentiasa berkorban setiap masa.

Sehubungan itu katanya, semangat kemerdekaan negara yang bermula pada tarikh 31 Ogos 1957 dan tarikh terbentuknya Malaysia melalui penyatuan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 perlu diteruskan.

“Semangat kita dalam meraikan hari-hari kebesaran negara perlu diteruskan agar dapat mendidik masyarakat menghargai keamanan dan perpaduan yang dinikmati sekaligus mengekalkan kedaulatan negara,” katanya.

–BERNAMA