Pilih Bahasa

Laporan polis dibuat minta tindakan diambil terhadap Datu Akjan

KOTA KINABALU: Lebih kurang 50 orang terdiri daripada pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkumpul di Balai Polis Karamunsing hari ini untuk membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap Datu Akjan Ali Muhammad atas dakwaan cuba menimbulkan kebencian antara kaum di Sabah.

Dr Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan berkata mereka membuat laporan itu memandangkan belum nampak lagi apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menghentikan perbuatan yang mereka dakwa “sebagai hasutan, provokasi dan khianat terhadap negara Malaysia.”

Dr Jeffrey mengetuai pemimpin pembangkang dan NGO membuat laporan polis terhadap Akjan di Balai Polis Karamunsing hari ini. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Menurutnya mereka yang hadir hari ini terdiri daripada pemimpin parti pembangkang dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat asal Sabah.

Mereka termasuklah Presiden PCS Datuk Seri Wilfred Bumburing, naib presiden PBS Datuk Daniel Kinsik, Datuk Lawrence Gimbang (PBS), Datuk Louis Rampas (PBS), Datuk Norbert Chin (APS), setiausaha agung SAPP Datuk Richard Yong serta para ahli dan wakil parti-parti politik tempatan dan NGO seperti PIPPA, dan Sorak.

Mereka mendakwa Akjan membuat hasutan bilamana menghina orang asal Sabah khususnya kaum Kadazandusun Murut (KDM) dengan menggelar mereka sebagai bangsa pendatang di Sabah ketika menyatakan bangsa Suluk adalah orang asal kelas pertama.

Kenyataan ini dibuat dalam klip video Youtube yang ditularkan melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Ini jelas menunjukkan bahawa Akjan “menghasut kaumnya” dan “menghina komuniti asal di Sabah,” kata Dr Jeffrey.

Pada masa yang sama Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau mempersoalkan status kehadiran Akjan di Sabah oleh kerana dia telah menobatkan dirinya sebagai Sultan Sulu.

“Dia menggelarkan diri sebagai Sultan Sulu (tetapi) di sini adalah Sabah manakala Sulu di sebelah sana. Bukan ini bermakna dia sudah menceroboh (dengan berada di Sabah)?” katanya.

“Dan apa maksud dia dengan ‘jangan diganggu sarang tebuan’ (dalam klip video)? Justeru, kami meminta pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas secepat mungkin kerana ini telah membuat rakyat gusar.

“Kita tidak rasa selamat selagi tiada tindakan diambil,” ujarnya.-SabahNewsToday