Pilih Bahasa

Laporan polis kes fitnah dalam sosial media

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Karambunai membuat laporan polis berkaitan tuduhan palsu yang dikeluarkan dalam laman portal blog Sabahkini2 yang tular disosial media malam tadi.

PPM N12 Karambunai, Zulkeflee Abu Bakar berkata beliau bersama Ahli Dewan Undangan Karambunai, Azhar Matusin menafikan tidak pernah terlibat dalam menentukan harga serta lot tapak bazaar Ramadan Kingfisher Likas bagi tujuan mengaut keuntungan segera seperti yang ditularkan dalam lama sosial media malam tadi.

Zulkeflee (tengah) bersama kakitangan UPPM Dun Karambunai membuat laporan polis. Gambar SNT/Zakaria Damit

Katanya, beliau juga menegaskan isterinya ‘Erah Abdul’ tidak terlibat dalam sebarang urusan pentadbiran di pejabat UPPM N.12 Karambunai termasuk menentukan harga dan lot tapak bazaar berkenaan.

“Kami dimaklumkan bahawa tuduhan palsu ini yang telah disebarkan melalui dua pemilik akuan Facebook dikenali sebagai Bravo Oscar Yankee Shyazreen dan Awangku Julhairi Awangku Ibrahim sekaligus disiarkan dalam blog Sabahkini2.

“Kita mahu pihak polis serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas kepada Blog Sabahkini2 yang dilihat telah menjejaskan imej serta reputasi Adun Karambunai serta saya sendiri selaku pentadbir dalam unit PPM dalam Dun Karambunai” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sabahnewstoday.com selepas membuat laporan polis di Balai Polis Alam Mesra, Kota Kinabalu pagi tadi.

Zulkeflee berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis agar kes fitnah ini dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Kita sangat kesal atas kejadian ini serta berharap agar tindakan undang-undang terhadap blog Sabahkini2 serta dua individu yang terlibat dalam menyebarkan fitnah ini,” katanya.

Beliau menambah, sepatutnya perkara ini hendaklah dimaklumkan kepada UPPM terlebih dahulu bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan peniaga di dalam bulan ramadan.-SabahNewsToday