Pilih Bahasa

Laporan polis terhadap pemilik FB hina TYT Sabah, mahkamah

KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) – Sekumpulan penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah akaun Facebook yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan pihak mahkamah.

Kumpulan yang diketuai oleh Nordin Ening itu berkata mereka membuat laporan itu untuk menggesa pihak polis menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun laman sosial berkenaan kerana telah mengeluarkan kenyataan tidak sopan.

Nordin Ening. Gambar Fail SNT

“Pemilik akaun itu menggunakan bahasa kesat yang tidak sepatutnya. Provokasi seperti itu adalah sangat melampau dan kita mahu pemilik akaun Facebook itu dikenakan tindakan tegas,” katanya kepada Bernama selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Nordin berkata perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dibanteras agar tidak berlarutan pada masa akan datang.

Pemilik akaun didakwa mengeluarkan kata-kata kesat yang ditujukan kepada mahkamah dan Juhar ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam yang telah memutuskan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

— BERNAMA