Pilih Bahasa

LAPORAN UPKO BERDEPAN RISIKO PEMBATALAN ROS FITNAH SEMATA-MATA

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Laporan blog dan cerita yang mendakwa Upko berhadapan dengan risiko pembatalan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah tidak benar sama sekali dan berunsur fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung, Nelson Anggang berkata Persidangan Perwakilan Tritahunan Upkonyang diadakan baru-baru ini di mana Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain telah dipilih adalah sah dan telah mendapat kebenaran daripada RoS untuk diteruskan.

Nelson Anggang. Gambar Fail SNT

Ini berdasarkan kepada surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bertarikh 10 Oktober 2018 daripada Ketua Pengarahnya, Masyati Abang Ibrahim yang telah secara jelas menyatakan bahawa Upko boleh menjalankan segala aktiviti pertubuhan berdaftar selaras dengan Undang-Undang Tubuh Pertubuhan dan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335], kata Nelson.

Menurutnya, Datuk Donald Mojuntin, Setiausaha Agung Upko pada ketika itu juga telah dipanggil oleh RoS untuk diterangkan berkenaan keputusan tersebut.

Penerangan itu telah dibuat oleh Masyati bersama beberapa pegawai kanan RoS.

RoS menjelaskan kepada Donald dan beberapa pemimpin parti yang hadir bahawa Upko boleh meneruskan segala aktiviti pertubuhan termasuk Persidangan Tritahunan yang bermula pada 12 sehingga 14 Oktober 2018 yang lepas.

Nelson berkata dalam Persidangan Tritahunan Upko tersebut, Donald telah menerangkan secara jelas dan terbuka bahawa terdapat beberapa aduan yang telah dibuat kepada RoS.

“Berikutan itu RoS telah menjalankan siasatan terhadap Upko dan hasil siasatan Upko dibersihkan daripada kesemua aduan-aduan tersebut dan boleh meneruskan segala aktiviti parti,” katanya.

Turut dijelaskan kepada semua perwakilan persidangan Tritahunan Upko tersebut bahawa walaupun pindaan perlembagaan Upko tidak diluluskan oleh RoS namun ianya tidak sama sekali menjejaskan apa-apa aktiviti parti termasuk menjalankan persidangan tritahunan, kata Nelson.

“Bahkan, pihak RoS berpuas hati dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh Upko untuk mengadakan Persidangan Luar Biasa yang mana telah menjelaskan kepada perwakilan berkenaan dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh parti Upko.

“Jelas sekali yang sengaja memutar belit dan membuat andaian segala itu mempunyai niat jahat untuk memfitnah Upko,” katanya.

Nelson berkata ini bukan kali pertama tuduhan serta fitnah sedemikian dibuat terhadap Upko dan para pemimpinnya oleh pihak tertentu.

“Pelbagai laporan polis telah dibuat terhadap kenyataan-kenyataan fitnah yang dibuat dan kita sangat mengharapkan tindakan yang setimpal akan diambil dalam masa terdekat,” katanya.-SabahNewsToday