Pilih Bahasa

Larian ‘KK Cops Night Run 2020’ tawar hadiah lumayan dan unik

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pelbagai hadiah lumayan menanti peserta bertuah larian ‘KK Cops Night Run 2020’ anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Lebih menarik setiap peserta yang mendaftar bukan sahaja diberi baju dan sijil malah mereka turut menerima medal eksklusif berbentuk ‘gari’.

Omar merasmikan pelancaran promosi ‘KK Night Run 2020’ di gelanggang Tenis Sutera Harbour, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata acara larian berkenaan terbuka kepada orang ramai yang akan diadakan pada 4 Januari 2020 bertempat di Stadium Likas, di sini.

“Acara ini akan diadakan sebelah pada malam bermula jam 7.30 malam dan sambutan daripada orang ramai begitu menggalakkan walaupun hari ini majlis pelancaran larian berkenaan.

Omar ketika sidang media sempena Majlis Pelancaran Promosi ‘KK Night Run 2020’ di gelanggang Tenis Sutera Harbour, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Setakat ini kita menerima penyertaan lebih daripada 2,000 peserta dan tarikh tutup pendaftaran pada 4 Disember ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Promosi KK Cops Night Run 2020 di gelanggang Tenis Sutera Harbour, di sini pagi tadi.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Omar berkata selain acara larian, menanti peserta pelbagai hadiah lumayan berbentuk barangan elektrik, hamper, basikal, motosikal dan tiket penerbangan pergi balik bagi destinasi Kota Kinabalu – Kuala Lumpur, berjumlah RM35,000.

Omar menunjukkan hadiah medal berbentuk gari untuk peserta larian pada Majlis Pelancaran Promosi ‘KK Night Run 2020’ di gelanggang Tenis Sutera Harbour, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dan kategori pertama 10 kilometer (km) lelaki/wanita (veteran 40 tahun ke atas) serta lelaki/wanita (terbuka 16 tahun ke atas). Bagi kategori kedua iaitu 10 km untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.

Bagi kategori ketiga iaitu 7 km Fun Run (terbuka kepada semua kategori umur manakala kategori keempat 5 km Fun Run (terbuka kepada semua kategori umur). Yuran penyertaan yang dikenakan berjumlah RM59.

Pendaftaran acara larian boleh menerusi Via JOMRUN dan datang terus ke IPD Kota Kinabalu.

Tambah Omar lagi, acara larian ini dianjurkan bertujuan bukan sahaja mengeratkan warga PDRM tetapi yang mustahak sekali untuk mengeratkan kerjasama antara PDRM dan juga orang awam.

“Jadi ini juga adalah suatu program berbentuk program kesedaran pencegahan jenayah yang kita akan sisipkan bersama pada acara berkenaan.

“Mudah-mudahan segala perancangan dan harapan kita untuk menjayakan KK Copy Night Run 2020 ini, diberikan keselamatan dan perlindungan, ia bermula baik, berjalan dengan lancar seterusnya berakhir dengan jayanya,” ujarnya. -SabahNewsToday