Pilih Bahasa

Lawatan bersejarah Ketua Menteri ke Kanyon Imbak

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pandangan udara Kawasan Konservasi Kanyon Imbak. – Gambar SNT/Ihsan Kumpulan Yayasan Sabah

KOTA KINABALU: Lawatan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ke Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (Imbak Canyon Conservation Area – ICCA) esok (26 Mac) bakal mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri Sabah pertama menjejakkan kaki di kawasan konservasi itu.

Lawatan beliau itu akan mempromosikan status ICCA sebagai kawasan yang mempunyai sumber yang kaya dengan tumbuhan ubat-ubatannya untuk penyelidikan bioteknologi pada masa hadapan, seterusnya menjadikannya warisan yang tidak ternilai untuk generasi akan datang.

Memperoleh status sebagai sebuah bank gen, ICCA yang terletak di Ulu Kinabatangan di tengah-tengah negeri ini memainkan peranan penting sebagai sumber benih untuk pemulihan dan hutan simpan.

Kanyon Imbak dengan keluasan 27,599 hektar ini merangkumi pelbagai habitat hutan hujan di kawasan lembah sepanjang 25 kilometer dikelilingi oleh rabung batu pasir di ketiga-tiga sisinya dan kebanyakan puncak rabung tersebut melebihi 1,000 meter dengan puncak tertinggi Gunung Kuli, mencapai 1,527 meter ketinggian.

Sebagai sebahagian daripada kawasan perlindungan di Kawasan Konsesi Yayasan Sabah, ICCA yang kaya dengan biodiversiti tumbuhan mempunyai lebih daripada 600 spesies yang direkodkan setakat ini dan jumlah ini dijangka akan meningkat dengan penerokaan dan penyelidikan yang akan terus dilaksanakan. 

ICCA telah mencatatkan 82 spesies mamalia seperti harimau dahan, kucing dahan, monyet belanda, orang utan, Bornean gibbon, tambadau, beruang matahari dan gajah pigmi Borneo manakala sejumlah 242 spesies burung telah direkodkan.

Spesies burung ini terdiri dari gabungan spesies tanah pamah dan gunung termasuk enam spesies pitta, kesemua lapan spesies burung enggang Borneo dan 20 spesies burung sambar.

Pandangan udara Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak. – Gambar SNT/Ihsan Kumpulan Yayasan Sabah

Sebagai hutan semula jadi yang asli, ICCA juga memainkan peranan penting sebagai koridor hidupan liar, khususnya mamalia serta landskap yang penting menghubungkan kawasan konservasi Lembah Danum dan Lembangan Maliau selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air untuk sistem sungai terpanjang di Sabah iaitu Sungai Kinabatangan.

Pada 2003, Kumpulan Yayasan Sabah secara sukarela menetapkan ICCA sebagai kawasan konservasi. ICCA kemudiannya, diwartakan dan dinaik taraf sebagai Rizab Hutan Kelas 1 (Perlindungan) pada 2009 bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi.

ICCA merupakan salah satu daripada lima kawasan konservasi Kumpulan Yayasan Sabah selain dari Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.

Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria, lawatan Mohd Shafie itu akan memberi impak yang besar kepada ICCA.

Jamalul menjelaskan lawatan Mohd Shafie itu akan memberi sokongan kepada  ICCA dalam mencapai status kawasan konservasi utama dan seterusnya dapat menarik perhatian penyedia dana dan projek penyelidikan.

“ICCA merupakan kawasan konservasi yang mempunyai kecantikan semula jadi yang luar biasa dengan landskap dan air terjun yang menakjubkan,” katanya.

“Lawatan Datuk Seri Mohd Shafie ini juga akan meningkatkan usaha untuk membangunkan kawasan ini secara saintifik. Ia akan menyerlahkan kepentingan ICCA sebagai pusat pembelajaran asas masyarakat setempat dalam pemuliharaan biodiversiti di samping sebagai pemuliharaan bank gen serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi,” katanya. – SabahNewsToday