Pilih Bahasa

Ldeo FC juara Kejohanan Piala Rakan Kembara Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pasukan Ldeo FC menerima Piala Rakan Kembara Sabah daripada Nasri (tengah, barisan kedua). – Gambar SNT/Ihsan Rakan Kembara Sabah

LAHAD DATU: Pasukan Ldeo FC muncul juara keseluruan Kejohanan Piala Rakan Kembara Sabah yang diadakan di padang Kompleks Marin Lahad Datu, semalam.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Bid’s FC dan Sejati FC manakala Piala Sumbangsih dimenangi pasukan TRF FC dan MU Legend FC.

Hadiah kepada para pemenang pertandingan itu disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor.

Sebanyak 32 pasukan telah menyertai perlawanan bola sepak untuk merebut piala tersebut yang disertai golongan belia daerah itu.

Mizma (dua dari kanan) bersalaman dengan para pemain yang menyertai Piala Rakan Kembara Sabah di padang Kompleks Marin Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan Rakan Kembara Sabah

Sementara itu, Pengerusi Rakan Kembara Sabah, Mizma Appehdullah berkata golongan belia perlu membuat perubahan untuk masyarakat dan negara tetapi mereka perlu memastikan apa yang dilakukan itu menjadi sesuatu yang membawa kebaikan.

“Golongan belia disarankan agar terus bergerak secara aktif dalam persatuan bagi memantapkan jati diri dan menimba pengalaman luas tentang kepimpinan di sesebuah organisasi.

“Usaha berkenaan harus diberi penekanan secara berterusan bagi memastikan golongan belia dapat memanfaatkan faedah dalam persatuan yang disertai mereka,” ujarnya.

Justeru, beliau mahu golongan belia sentiasa peka dan turut serta dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya golongan belia perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam aktiviti berpersatuan kerana ia bukan sahaja dapat mendedahkan mereka dengan ilmu pengetahuan. – SabahNewsToday