Pilih Bahasa

Lebar dan dalamkan Sungai Serudong, langkah atasi banjir di Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kaedah melebar dan mendalamkan Sungai Serudong adalah antara inisiatif jangka pendek yang akan dilaksana dalam masa terdekat bagi mengatasi isu banjir yang kerap melanda kawasan kampung berhampiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal berkata pihaknya mencadangkan supaya ada satu jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran dibentuk bagi menyelesaikan masalah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal (dua dari kanan) melawat Sungai Serudong. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya kontraktor yang dilantik akan menjalankan kerja mengorek pasir di sungai berkenaan dan pasir itu akan diberi kepada kontraktor berkenaan sebagai bayaran.

“Saya mencadangkan untuk mendalamkan Sungai Serudong ini dengan menggunapakai kaedah seperti yang dilaksana di Kota Belud sebelum ini iaitu kontraktor dibayar menggunakan bayaran pasir.

“Jika kita mahu tunggu peruntukan kerajaan kita terpaksa menunggu sehingga bajet itu ada tapi kita boleh gunapakai kaedah ini terlebih dahulu dan kalau ini dipersetujui tak payah tunggu peruntukan, kita boleh lakukan segera,” katanya.

Osman menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika lawatan ke kawasan terjejas banjir di Kampung Serudong Baru, dekat sini, hari ini.

Terdahulu sebanyak 93 rumah terjejas banjir di kampung berkenaan manakala 36 daripadanya sudah diberi bantuan berupa barang makanan.

Dalam pada itu, Osman berharap pihak kerajaan akan turut menggantikan jambatan kayu di Sungai Serudong kepada jambatan konkrit untuk kegunaan seharian penduduk setempat.

Sementara itu, seorang penduduk, Takin Limau, 54, yang turut menjadi mangsa banjir pada Selasa lalu menyambut baik inisiatif yang diambil pemimpin kawasan berkenaan.

Takin Limau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya Sungai Serudong perlu didalamkan dan dilebarkan sebagai langkah mengatasi banjir kilat yang sudah dua kali melanda kawasan kampungnya.

“Masa kejadian itu saya, isteri dan enam anak berada di dalam rumah. Saya yang menghadapi strok di bahagian kanan badan tidak boleh bergerak dan anak saudara saya yang menyelamatkan serta mengangkat saya ke kawasan selamat.

“Banjir di kampung ini semalam antara yang terbesar sejak 15 tahun yang lalu. Jadi saya harap projek lebarkan sungai ini dapat dijalankan secepat yang mungkin bagi mengatasi isu banjir ini,” katanya yang juga seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU). – SabahNewsToday