Pilih Bahasa

Lebih 100 hadiri Program Ramah Mesra Ketua Wira Sepanggar

Jumardie (tengah) menerima borang kemasukan ahli Warisan beramai-ramai oleh penduduk perumahan Taman Sepanggar. – Gambar SNT/Ihsan Wira Sepanggar

KOTA KINABALU: Kira-kira 100 penduduk perumahan Taman Sepanggar daripada pelbagai lapisan kaum memeriahkan Program Ramah Mesra Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Sepanggar, semalam.

Menurut Ketuanya, Jumardie Lukman program itu bertujuan mendekati rakyat, merapatkan silaturrahim serta memberikan maklumat mengenai senario politik negeri semasa kepada penduduk khususnya generasi muda di kawasan itu.

“Dalam majlis ini juga turut dibuka kaunter pendaftaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama kepada penduduk yang belum berdaftar sebagai pengundi, juga terdapat kaunter pemeriksaan kesihatan, pendaftaran e-Kasih, kaunter derma darah dan juga pendftaran Peka-40 kepada warga penduduk.

“Kita juga mengadakan sesi penyerahan borang kemasukan ahli Warisan beramai-ramai oleh penduduk perumahan Taman Sepanggar kepada Ketua Wira Sepanggar,” katanya.

Jumardie berucap pada majlis ramah mesra di Taman Perumahan Sepanggar. – Gambar SNT/Ihsan Wira Sepanggar

Jumardie berkata permuafakatan penduduk di Taman Sepanggar untuk menyertai Warisan bukan satu yang gimik tetapi ia adalah realiti dan kewajiban yang harus ditunaikan bagi menentukan kestabilan serta mempertahankan parti tempatan.

Katanya rakyat juga mempunyai kuasa dalam memilih dan sudah pastinya mereka tidak rela negeri ini tergadai ke tangan orang lain.

“Kita jangan mudah terpedaya dengan hasutan atau pujukan oleh mereka yang suka memporak-perandakan rakyat dengan melontarkan berbagai fitnah terhadap parti kita yang akhirnya akan merosakan perjuangan demi masyarakat dan negeri kita sendiri, fokus kepada perjuangan dan agenda untuk terus memartabatkannya,” katanya.

Sebahagian penduduk taman perumahan Sepanggar yang hadir dalam program ramah mesra anjuran Ketua Wira Sepanggar. – Gambar SNT/Ihsan Wira Sepanggar

Tambah Jumardie lagi Warisan dan rakan gabungan dalam kerajaan negeri mampu mentadbir Sabah dengan memperkayakan penghasilan ekonomi yang bermodalkan hasil bumi yang amat kaya dengan sumber asli.

Jelasnya jika hasil bumi Sabah dapat dipertingkatkan dan memastikan kelestariannya secara tidak langsung akan terus menjana ekonomi negeri sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat. – SabahNewsToday