Pilih Bahasa

Lebih 100 kanak-kanak kurang bernasib baik dirai pada majlis Hari Raya Kerajaan Negeri

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Lebih 100 kanak-kanak kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim seluruh negeri dirai dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri, di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha.

Mereka menerima sedikit sumbangan daripada kerajaan negeri sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memancarkan kegembiraan raut wajah kanak-kanak tersebut seperti orang lain.

Kanak-kanak istimewa menerima duit Raya dari Mohd Shafie dan isteri. Gambar SNT/Ihsan JKM

Selain itu, majlis berkenaan juga dihadiri ramai pengunjung atau masyarakat setempat bagi memeriahkan lagi suasana Hari Raya Kerajaan Negeri itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sambutan majlis saban tahun dianjurkan kerajaan negeri itu amat meriah sekali dengan kehadiran pengunjung pelbagai kaum.

“Ini petanda yang cukup baik untuk membolehkan sedikit sebanyak kita meraikannya bersama dan ia sebagai satu ikatan persaudaraan antara pelbagai agama di negeri ini.

Tun Juhar Mahiruddin bersalaman dengan para tetamu di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Apa yang penting kepada kita adalah semangat toleransi dan kerjasama yang boleh kita pupuk, apatah lagi dalam perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Pelbagai kaum menghadirinya dan jika kita boleh raikan perayaan seumpama ini dalam suasana yang harmoni, saya yakin kita boleh raikan bersama dalam membangunkan negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri, di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha, hari ini.

Katanya perpaduan dan semangat bersatu padu masyarakat pelbagai kaum dan agama penting sebagai asas ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang pesat membangun.

Turut hadir memeriahkan majlis, ang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri kepada Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib serta menteri-menteri Kabinet negeri. -SabahNewsToday