Pilih Bahasa

Lebih 100 pendidik hadiri program Dorongan Akademik

Oleh Sabah News Today

KENINGAU: Lebih 100 terdiri daripada Guru Besar dan Guru sekitar Daerah Keningau dan Tenom menghadiri program julungkali Dorongan Akademik (DOA).

Anjuran bersama Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Keningau dan One Touch Education dengan sokongan Pejabat Pelajaran daerah Keningau, program tersebut berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Keningau dekat sini kelmarin.

Sebahagian Guru Besar Daerah Keningau, Tenom yang hadir. Gambar SNT/Ihsan Kgufm

Yang Dipertua MGB Keningau, Sakim Ibrahim berkata program adalah merupakan perkongsian Pintar pendekatan Pembelajaran Interaktif berasaskan Internet yang terkini dan memenuhi keperluan dalam pembelajaran abad ke-21 selaras dengan anjakan ke-7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)yang memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah.

Justeru katanya melalui perkongsian pintar itu, pengurusan sekolah serta guru dapat mempelbagaikan kaedah dan pendekatan pembelajaran murid dan menggunakan kemudahan ICT sedia ada dan alatan komunikasi untuk memperkasakan kepelbagaian penguasaan seterusnya membantu murid mencapai tahap minimum, sekaligus menyahut cabaran dalam merealisasikan naratif baharu pendidikan.

“MGB Keningau akan terus menjalinkan kerjasama padu dengan agensi pendidikan termasuk badan koprat yang didokong oleh Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dalam usahasama memperkasakan pendidikan,” katanya.

“Kita yakin melalui pelbagai program bersama akan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada sekolah dan anak murid dalam mencapai misi dan visi pendidikan melalui jalinan dan jaringan antara sekolah dengan agensi pendidikan lain dan swasta yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, Sakim berharap rakan Guru Besar dan guru yang hadir dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan serta produk yang dibentangkan, seterusnya berkongsi dengan warga sekolah,ibubapa dan murid disekolah untuk menjadi pengguna aktif ZoomA sebagai sebahagian bahan pengayaan pembelajaran murid.

Dalam program itu sebanyak dua kertas kerja dibentangkan oleh penceramah MGB Dr. Pranchis Andin dan Lee Chin Ling yang berkongsi pendekatan produk pemelajaran interaktif melalui Internet yang boleh menambah bahan bantu pembelajaran secara interaktif dan mempelbagaikan kemahiran guru dan murid dalam menghasilkan karya pendidikan.

Produk pendidikan itu juga katanya membantu mencapai penguasaan cemerlang dalam akademik dan kemahiran ICT yang terdapat dalam program yang dikenali sebagai ZoomA yang boleh dilanggan melalui sekolah dan
sesuai diakses oleh semua golongan murid dan ibubapa.

Lee yang juga bekas seorang pendidik sebelum menyertai badan koprat berkongsi beberapa teknik mudah pengajaran dan pembelajaran Matematik, Bahasa Melayu, Inggeris dan Sains.-SabahNewsToday