Pilih Bahasa

Lebih 1,000 Bikers Asia dijangka sertai North Borneo Bike Festival 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 ‘bikers’ membabitkan beberapa negara Asia dijangka bakal menyertai North Borneo Bike Festival 2019 bulan hadapan.

Antara negara berkenaan termasuklah Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Awie (tiga dari kanan) menunjukkan risalah North Borneo Bike Festival 2019 yang bakal berlangsung bulan hadapan di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Presiden Kelab Permotoran Wings atau Wings Bikers Club Sabah (WMGS), Andi Arsid berkata pihaknya teruja dengan penganjuran festival terbabit berikutan sambutan luar biasa penggemar sukan permotoran bukan sahaja di negeri ini malah negara-negara Asian berhampiran.

“Walaupun acara ini julung kali diadakan tetapi penyertaan ketika ini amat baik dan dijangkakan terus meningkat meningkat dari semasa ke semasa.

“Jumlah 1,000 peserta ini hanya jangkaan sahaja disebabkan ia penganjuran pertama namun kita sentiasa mengalukan lebih ramai penyertaan dalam kalangan penggemar motosikal ini agar dapat turut serta bersama kita dalam program selama tiga hari ini.

Awie (tiga dari kanan) ketika sidang media North Borneo Bike Festival 2019 di Hard Rock Cafe Kota Kinabalu, hari ini. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Salah satu objektif festival permotoran ini adalah memberi peluang kepada kelab-kelab permotoran berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama penggemar sukan ini.

“Selain itu, kita juga mahu mengetengahkan budaya serta kebudayaan masyarakat di negeri ini terutamanya buat masyarakat melalui aktiviti tarian etnik, pakaian etnik, permainan tradisional dan pelbagai aktiviti menarik lain sepanjang program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai North Borneo Bike Festival 2019 di Hard Rock Cafe Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kelab Permotoran Wings Malaysia, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie.

Berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober hadapan diperkarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Likas, antara pengisian North Borneo Bike Festival 2019 termasuklah pameran motosikal dan kenderaan, pertandingan gusti lengan, tarik tali, busking, derma darah dan pameran agensi kerajaan serta swasta.

Acara perasmian festival terbabit dijangkakan bakal disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin.

Sementara itu, Awie yang ditemui ketika sidang media sama menyatakan beliau akan turut membuat persembahan pada Konsert Junjungan Kasih bersama beberapa artis tempatan Sabah seperti Firman, Clover Skull, Marcel Gutisi dan Alister Leonard Alai.

“Saya juga akan bersama Tun berkonvoi motosikal ke Kota Belud sebagai salah satu acara pada festival itu nanti,” katanya. -SabahNews Today