Pilih Bahasa

Lebih 3,000 peserta dijangka sertai Larian Amal Smart 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Bakri Bibi (kanan) menyerahkan Watikah Perlantikan Duta Skuad, Keith Foo. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Lebih 3,000 peserta dijangkakan bakal menyertai Larian Amal Smart 2019 pada 16 November hadapan.

Dianjurkan buat julung kali, larian amal berkenaan adalah penganjuran bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah,  Skuad AADK, Persatuan Warisan Wanita Kreatif Sabah (Pertafa) dan Pemadam Sabah.

Pengerusi Skuad AADK Kota Kinabalu, Afendih  Ambrih berkata setakat ini tiket penyertaan larian terbabit sudah terjual kira-kira 40 peratus dan penjualan terus meningkat daripada semasa ke semasa.

“Larian ini bukan hanya terbuka masyarakat Sabah sahaja malah ia turut mendapat perhatian peserta Sarawak dan Semenanjung.

“Selain itu, aktiviti ini melibat tiga kategori utama iaitu Remaja (17 ke bawah), Terbuka (18-44 tahun) dan Veteran (45-60 tahun) sekaligus acara yang sesuai bagi semua peringkat usia.

“Oleh itu, kita yakin dapat mencapai sasaran jumlah penglibatan peserta berdasarkan kepada sambutan orang awam ketika ini,” katanya ketika sidang media Larian Amal Smart 2019, dekat sini, hari ini.

Pelakon dan pengacara, Keith Foo, dilantik Duta Larian bagi Larian Amal SMART 2019. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Yang turut hadir Presiden Pertafa, Datin Seri Nolly Zai Awang Sham dan Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi.

Dalam majlis sama turut diperkenalkan Keith Foo selaku duta skuad merangkap duta larian berkenaan.

Larian sejauh 10 kilometer (km) berkenaan akan bermula diperkarangan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan seterusnya berpatah balik di bulatan i stiadat sebelum menamatkan larian di bangunan PPNS.

Sementara itu, Afendih berkata semua peserta yang menamatkan larian pada hari acara juga bakal hiburkan dengan persembahan daripada artis tempatan dan Indonesia pada konsert mini sempena majlis penyerahan hadiah yang dijangkakan bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – SabahNews Today