Pilih Bahasa

Lebih 3,000 peserta sertai Go Green KCCC Trail Run

Oleh Alfred Petrus

Ewon (belakang tiga kiri) bergambar bersama pemenang KCCC Trail Run. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Lebih 3,000 peserta menyertai acara larian Go Green, Kadamaian Cross Country Challenge (KCCC) Trail Run sejauh 20 kilometer (km) dan KCCC MTB XC sejauh 55 km, kelmarin.

Acara itu diadakan sempena Pelancaran Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Komuniti Kadamaian yang julung kalinya diadakan tahun ini.

Bagi kategori lelaki terbuka KCCC Trail Run, tempat pertama dimenangi pelari tempatan yang tidak asing lagi, Supirin Sumping, mengetepikan pencabar Saipul Mohamad dan Jemson Deikin yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Peserta larian lasak, Ethal Delailah Sindih pula merangkul kejuaraan bagi kategori wanita terbuka manakala Sinapilin Sarawi memenangi tempat kedua dan Mailin Salungin di tempat ketiga.

Dalam acara yang sama, juara kategori lelaki veteran diungguli Ruston Masri menewaskan pelari gunung yang tidak asing lagi Guianus Salagan yang hanya berjaya menduduki tempat kedua dan Liman Sintam di tempat ketiga.

Seperti yang dijangkakan, pelari lasak terkenal Kona Liau memenangi kategori wanita veteran, menghampakan harapan Epang Serawi dan Liza Joseph yang masing-masing hanya menduduki tempat kedua dan ketiga.

Pelepasan peserta dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick sempena pelancaran Program 5K Komuniti Kadamaian, di Padang Dudan Kampung Piasau.

Ewon berhasrat Program 5K Komuniti Kadamaian yang julung kalinya diadakan membabitkan 74 kampung itu dijadikan sebagai acara tahunan bagi kawasan Kadamaian.

“Kita berharap program ini dapat menekankan pembabitan penduduk desa dalam proses perancangan pembangunan untuk meningkatkan kesedaran ke arah kesejahteraan luar bandar,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Pelaksana Program, Boniface Jiran berkata, selain program pelancaran 5K dan acara larian dan berbasikal Kadamaian Cross Country Challenge (KCCC) MTB XC (55KM), turut diadakan larian Go Green Fun Ride dan Fun Run (29KM dan 8km) pada keesokan harinya.

“Larian Go Green ini bertujuan untuk memperkasakan penyampaian mesej berkaitan kebersihan di Kadamaian. Seterusnya menyokong program 5K Komuniti Kadamaian,” katanya.

Program anjuran bersama UPPM N7 Kadamaian dan Kelab Berbasikal (LOB) itu berlangsung selama dua hari (23 dan 24 Mac). Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. – SabahNewsToday