Pilih Bahasa

Lebih 350 pelajar sekolah sertai Kejohanan Merentas Desa Telupid Tongod di Kopuron

Felix (lima dari kanan) bersama dengan guru-guru dan peserta. Gambar SNT/Ehsan Upko Beluran

TELUPID: Lebih dari 350 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh daerah Telupid dan Tongod menyertai Kejohanan Merentas Desa peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid dan Tongod yang julung kali diadakan di Sekolah Kebangsaan Kopuron, Kg Kopuron di sini.

Felix Joseph Saang, Ketua Bahagian Upko Beluran ketika merasmi majlis penangguhan kejohanan tersebut menyatakan rasa kagum dan memuji kesungguhan pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya.

“Walaupun berhadapan dengan beberapa rintangan dan kesukaran, SK Kopuron dibawah pimpinan guru besar, Cikgu Wahini Yukun telah menjayakan kejohanan besar ini.”

“Pujian kepada PPD Telupid dan Tongod juga yang telah menginisiatifkan agar kejohanan ini digilir-anjur oleh sekolah-sekolah yang pastinya memberi pengalaman berbeza setiap tahun dengan laluan merentas desa yang unik disetiap kawasan sekolah,” ujar Felix.

Deraman Kaplin Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sukan) Pejabat Pendidikan Daerah Telupid Tongod menyerahkan cenderakenangan kepada Felix (kiri) diperhatikan oleh Guru Besar SK Kopuron Wahini Yukun. Gambar SNT/Ehsan Upko Beluran

“Kejohanan seperti ini sudah pasti dapat membentuk dan melahirkan pelajar yang cergas, berdisiplin, progresif dan berdaya saing,” kata Felix

“Saya berharap agar sekolah-sekolah di sekitar Daerah Telupid Tongod akan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sukan,” ujar Felix

Kejohanan tersebut terbahagi kepada beberapa kategori iaitu lelaki dan perempuan mengikut sekolah rendah dan menengah.

Ianya turut dihadiri guru-guru besar dan pengiring; Miming Pornama, Timbalan Ketua Bahagian; Albenus Naim, Ketua Kerani JKR Telupid dan Tongod; Jonius Sadayoi, Ketua Pentadbiran Jabatan Air Telupid; Alexious Angkangon, Ketua Perhubungan Rela Mukim (KPRM) Telupid; Melton Martin, Penyelia Kemajuan Masyarakat N.40 Labuk; Joseph Jalil Worong, Ketua Peserta Felcra Kiabau; Mervin Enti, Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Raymond Kulenting, Penguatkuasa JKR Telupid, Tongod.-SabahNewsToday