Pilih Bahasa

LEBIH 50 BUAH RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI PASIR PUTIH

Oleh Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Lebih 50 buah rumah  musnah terbakar dalam kejadian selepas solat Jumaat di Kampung Pasir Putih, di sini hari ini.

Pemandangan dari atas keadaan kebakaran menggunakan dron. Gambar SNT/Sumber media sosial

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pukul 12.50 tengah hari itu.

Beberapa buah kenderaan termasuk sebuah bas mini turut mengalami kerosakan dalam kebakaran itu.

Seorang anak kecil dirakam bersama ibunya ketika kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Asap tebal dari kebakaran melibatkan kawasan seluas empat hektar dapat dilihat sehingga di Penampang dan Kota Kinabalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah hari.

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sejumlah 40 anggota bersama enam jentera dari dua balai bomba iaitu Kota Kinabalu dan Penampang yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba II (PKPbBii) Hamsa Isnurdini dikerahkan ke lokasi kejadian.

Usaha pemadaman juga dibantu oleh keanggotaan dari Bomba Tentera Darat Kem Lok Kawi bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Api hanya dapat dikawal pada jam 3.14 petang dan seterusnya dipadam sepenuhnya pada 4.32 petang.

Kebakaran sukar di kawal disebabkan tekanan air pili bomba rendah dan rumah yang dibina terlalu rapat ditambahkan dengan keadaan angin yang agak kuat semasa kejadian.

Antara kenderaan yang turut musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Haris Ibrahim berkata berdasarkan maklumat awal pihaknya mendapati seramai 60 keluarga terjejas ekoran kebakaran itu.

Penduduk berusaha untuk membantu bomba memadamkan api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jelasnya yang dihubungi SabahNewsToday petang ini, kerja-kerja mengenalpasti mangsa yang terlibat masih giat dijalankan ketika ini di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Putatan dan Dewan Mini Putatan.

Anggota polis trafik turut membantu mengarahkan penghuni untuk mengosongkan rumah ketika kebakaran berlaku di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Uda Sulai yang turut berada di lokasi kejadian berkata pihaknya sedang mengambil inisiatif untuk mengenalpasti mana-mana individu terlibat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) dalam mengatasi permasalahan berkenaan.

Kucing antara haiwan peliharaan yang diselamatkan dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita akan mengenalpasti terlebih dahulu kesemua mangsa yang telah didaftarkan di dua Pusat Penempatan Sementara ini,” katanya.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Uda Sulai (dua kanan) bersama Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim melawat salah satu Pusat Pemindahan Sementara mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) N.18 Petagas itu bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat seperti JBPM, polis dan masyarakat setempat yang banyak membantu mangsa kebakaran.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan telah merekodkan 74 keluarga melibatkan 315 orang sebagai mangsa dalam kebakaran itu setakat 5.30 petang tadi.-SabahNewsToday