Pilih Bahasa

Lebih 500 peserta dari 33 negara sertai Kejohanan Karate Asia di Kota Kinabalu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lebih 500 peserta membabitkan 33 negara bakal menyertai Kejohanan Karate Asia (AKF) ke-18 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas di sini bermula 26 sehingga 28 April ini.

Kejohanan berkenaan melibatkan tiga kategori utama iaitu Kadet, Junior dan Bawah 21 (B21).

Presiden AKF, Chang Kuang Huei (tiga dari kiri) beramah mesra bersama Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Tan Sri Mohd Ali Rustam (dua dari kiri) dan beberapa tetamu kenamaan lain yang hadir sempena Kejohanan Karate Asia 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Antara acara dipertandingkan termasuklah Cadet Female Individual Kata, Cadet Male Individual Kata, Cadet Female Individual Kumite (47 kg) dan Cadet Male Individual Kumate (57 kg).

Presiden AKF, Chang Kuang Huei berkata pihaknya percaya penganjuran kejohanan karate kali ini dapat mencungkil lebih ramai generasi pelapis daripada pelbagai negara asia.

“Penyertaan tahun ini juga lebih ramai kerana terdapat tiga kategori berbeza.

“Kita mahu terus mengangkat seni mempertahankan diri seperti karate ini akan ia tidak terus dilupakan khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai kejuaraan berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar AKF, Vincent Chen dan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Dalam pada itu Kuang Huei berkata beliau yakin Sabah boleh menjadi tuan rumah terbaik bagi kejuaraan bertaraf antarabangsa itu disebabkan pernah memegang tanggungjawab sama pada penganjuran tahun 2008.

“Kemudahan bagi sukan karate di negeri ini lengkap sekaligus lebih memudahkan jurulatih dan peserta membuat latihan sebelum pertandingan sebenar.

“Selain itu, saya percaya negeri ini jua mempunyai ramai individu berpengalaman dalam sukan karate sekaligus boleh memberi peluang untuk mengetengahkan diri ke peringkat tertinggi,” katanya. -SabahNews Today