Pilih Bahasa

Lebih 600 orang hadiri Himpunan Solidariti Rakyat Sabah bantah PSS

Oleh Junaidi Ladjana

MEMBAKUT: Dianggarkan lebih 600 orang menghadiri Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) di kawasan pekan lama, di sini hari ini.

Ketibaan Dr Jeffrey disambut oleh para penyokongnya. Gambar SNT/Chris Maskilone

Peserta himpunan yang memakai baju T hitam dengan pelbagai logo ‘Tolak PSS’  dan ‘Bantah PSS’ mula tiba di kawasan ini sejak jam 7 pagi tadi.

Keadaan begitu terkawal dengan anggota polis ditempatkan di kawasan perhimpunan yang dianjurkan oleh NGO, PIPA dan Sorak Sabah.

Datuk Joniston Bangkuai menyampaikan ucapan. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Beberapa sekatan jalan turut dijalankan oleh anggota polis yang membuat pemeriksaan keselamatan sepanjang jalan bermula dari Putatan sehingga ke pekan Membakut.

Dilaporkan juga semalam terdapat satu posting dalam Facebook berbau jenayah ugutan untuk menganggu gugat perjalanan perhimpunan itu.

Antara kumpulan yang hadir Himpunan Solidariti Bantah PSS di Membakut. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Antara penceramah dalam himpunan itu ialah Pengerusi Solidariti Rakyat Sabah (Sorak) Jamain Sarudin, Ketua Wanita MCA Sabah Dr Pamela Chong, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, Ketua Penerangan PBS merangkap Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, mantan Ahli Parlimen Datuk Anifah Aman dan Presiden Star Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Himpunan bersurai sebaik Anifah yang menjadi penceramah terakhir berucap.

Kumpulan ini turut menyatakan bantahan mereka. Gambar SNT/Chris Maskilone

Calon Barisan Nasional Mohamad Alamin turut singgah di penghujung acara.

Pada 6 September lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing dipengerusi bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PSS akan dikeluarkan bermula 1 Jun ini.

Giliran Datuk Yong Teck Lee menyampaikan ucapan. Gambar SNT/Ihsan Sorak Sabah

PSS adalah untuk menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Pemimpin dari pelbagai parti politik dan organisasi yang hadir dalam himpunan terbabit. Gambar SNT/Ihsan Sorak Sabah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari ini.-SabahNewsToday