Pilih Bahasa

Lebih 800 ibu tunggal serta wanita berpeluang dapatkan pemeriksaan payudara percuma

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Seramai 840 orang ibu tunggal serta wanita di bandar raya ini berpeluang mendapatkan periksaan payudara secara percuma sempena program anjuran Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Sabah pada hujung bulan ini.

Presiden PITKM Sabah, Datuk Rosimah Zakaria berkata pihaknya diberikan amanah melaksanakan program berkenaan selepas mendapat peruntukkan daripada Kementerian Kesihatan persekutuan.

Frankie (dua dari kiri) menerima cenderamata selepas merasmikan iBreastExam dan iBreastExam Digital Breast Health Initiative di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Program ini dijangka bakal dilaksanakan pada 22 September ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan.

“Kita berharap acara ini dapat direalisasikan seiring dengan perancangan yang ditetapkan kerana ia adalah pilot projek kementerian dalam membantu golongan wanita dan ibu tunggal di negeri ini.

“Perancangan asal program ini hanya bagi sekitar bandar raya sahaja namun kita mahu perkembangan acara ini terlebih dahulu. Sekiranya mendapat sambutan luar biasa, pastinya kita hendak membuat program sama di daerah lain seluruh negeri,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian iBreastExam dan iBreastExam Digital Breast Health Initiative, dekat sini, hari ini.

Acara perasmian disempurnakan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Min Fung dan Pengarah Eksekutif AP BioResources Sdn Bhd, Jay Padasian.

Dilancarkan buat julung kalinya, mesin iBreastExam ialah pendekatan baharu bagi golongan wanita untuk membuat pemeriksaan payudara.

Dalam pada itu, Jay berkata Sabah menjadi lokasi pertama pelancaran mesin terbabit berikutan golongan wanita di negeri berkenaan paling ramai menghidap penyakit itu pada kadar 52 peratus berbanding nasional sebanyak 40 peratus.

“Pemeriksaan menggunakan iBreastExam ini boleh didapat di KPJ Healthcare Damai dan semua Medisinar Klinik dan Surgeri seluruh negeri dengan kadar bayaran RM70.

“Selain itu, bentuk alat ini kecil dan boleh dibawa ke mana sahaja termasuklah sekiranya hospital atau klinik berkaitan mahu membuat pemeriksaan secara mobile atau di kawasan pedalaman,” katanya. -SabahNews Today