Pilih Bahasa

LEBIH 92,000 AKAUN BANK JENAYAH DIREKOD DALAM PORTAL SEMAKMULE

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Orang awam disaran untuk mengunjungi Portal SemakMule bagi menyemak akaun bank membabitkan urus niaga dalam talian sebelum menjadi mangsa kes penipuan dan melakukan transaksi pembayaran tanpa usul periksa.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, SemakMule itu merekodkan lebih 92,000 akaun bank yang didakwa pernah melakukan kegiatan jenayah menipu.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama kakitangan kerajaan dan swasta serta pelajar sekolah di daerah Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Portal SemakMule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil itu adalah antara bantuan PDRM untuk membantu mengurangkan kes penipuan wang ringgit terutamanya membabitkan urus niaga dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Anti Pemerdagangan Orang Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Kempen anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, Shakib Ahmad Shakir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua akaun yang menjalankan kegiatan menipu akan tersenarai dalam portal berkenaan dan ia direkodkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa tipu daya atas talian.

“Pengunjung portal SemakMule (pautan http://ccid.rmp/gov.my/semakmule) hanya perlu memasukkan nombor akaun bank, memilih kategori (akaun bank atau nombor telefon), serta mengisi maklumat Captcha sebelum menekan butang semakan.

“Jika terdapat penipuan menggunakan akaun itu, ia akan dipaparkan di ruang carian,”katanya.

Victor berkata statistik jenayah siber bagi lima kategori iaitu telecomunication fraud, romance scam, e-financial fraud, e-commerce fraud, network abuse serta intelectual propery pada tahun lepas merekodkan jumlah keseluruhan kerugian RM372,948,345.46 membabitkan 10,004 kes.

Dalam perkara berasingan, Timbalan Pengarah Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Norzakiah Othman menasihatkan pengguna internet supaya tidak menggunakan kemudahan Wifi percuma yang disediakan di tempat awam untuk melakukan sebarang urusan transaksi perbankan dalam talian.

Menurutnya, peringatan mesra itu demi keselamatan kerana akaun bank pengguna mudah digodam.

“Lebih selamat gunakan talian internet sendiri, kerana ada kata laluan dan hanya kita yang gunakan kemudahan itu.

“Saya juga menasihatkan pengguna internet supaya tidak terlebih berkongsi maklumat peribadi dalam media sosial. Walaupun itu hak peribadi namun perkara itu boleh mengundang kepada ancaman jenayah,” katanya.

Sementara itu, Shakib ketika ditemui berkata kempen diadakan hari ini adalah komitmen KKMM dalam melaksanakan agenda promosi dan publisiti meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah telekomunikasi.

“Kempen ini akan diperluaskan ke seluruh negara dan tiga terma kempen digunapakai iaitu Jenayah Siber, Tipu Panggilan dan Love Scam manakala dua hashtag digunakan sebagai peringatan iaitu #ScamAlert dan #JanganTerpedaya,” katanya. – SabahNewsToday