Pilih Bahasa

Lebih banyak rumah mampu milik bakal dibina, tangani masalah perumahan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merancang membina sebanyak 1,679 unit rumah teres satu tingkat di Beringgis serta 1,000 unit rumah mampu milik di Kinarut.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata kementeriannya juga kini sedang mengenalpasti beberapa tapak bersesuaian untuk pelaksanaan program perumahan rakyat lain agar keperluan perumahan di negeri berkenaan khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kawang dapat ditunaikan.

Jaujan sedang berbincang sesuatu dengan Datuk Christina Liew sebelum sidang bermula pagi tadi. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Jaujan berkata setakat ini pihaknya sudah membina sebanyak 5,453 unit rumah di Dun Kawang sekaligus antara yang terbanyak di Sabah.

“Menerusi jumlah ini, kementerian melalui agensi pelaksana Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah membina 1,593 rumah kos rendah teres dua tingkat yang berharga antara RM25,000 hingga RM47,000 seunit dan sudah dijual sepenuhnya kepada golongan setinggan serta berpendapatan rendah.

“Kementerian saya juga sudah membina 80 unit rumah di bawah ‘Economic Rental Housing Programme’ (ERHP) dengan sewa bulanan RM170 sebulan khas buat golongan sama.

“Selain itu, kerjasama dengan Jabatan Perumahan Negara (JPN) turut membina 1,805 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Kawang. Rumah ini diperuntukkan sepenuhnya kepada golongan layak dengan kadar sewaan RM150 sebulan dan memberi manfaat kepada kira-kira 3,478 isi rumah golongan setinggan mahupun berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan menangani masalah kekurangan perumahan di DUN Kawang terutamanya bagi golongan setinggan, berpendapatan rendah, B40 dan M40 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke 15, dekat sini, hari ini.

Ghulam bersama Datuk Arifin Arif (kiri) sebelum sidang bermula. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam pada itu, Jaujan berkata pihaknya menerusi LPPB sudah serta sedang membina 1,296 unit rumah bagi penjawat awam (PPAIM) secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021.

“Kita turut giat membina 502 unit rumah jenis aparment di bawah Program Perumahan Rakyat Harapan Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Prima selain 522 unit rumah dua tingkat bagi golongan penjawat awam dan M40 di Dun Kawang,” katanya.

Dalam pda itu, Jaujan menyatakan semua projek perumahan yang sudah dilaksanakan atau sedang dibuat di Dun Kawang serta seluruh negeri menunjukkan keprihatinan ke atas keperluan perumahan bagi semua golongan pendapatan di negeri terbabit. -SabahNews Today