Pilih Bahasa

Lebih RM2.1 juta nilai rampasan dicatatkan KPDNHEP Sabah setakat pertengahan Mei

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lebih RM2.1 juta nilai rampasan membabitkan 743 kes atas pelbagai kesalahan diperolehi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah sepanjang tahun ini.

Menerusi jumlah kes berkenaan, sebanyak 436 kes sudah dikompaun dengan jumlah kutipan RM138,300 manakala 17 kes telah didaftarkan di mahkamah melibatkan denda sebanyak RM65,000.

Georgie (kiri) dan Ravichamdran (dua dari kiri) melihat bekalan minyak masak di salah sebuah premis pemborong terletak di KKIP Selatan. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata setakat semalam pihaknya juga sudah menerima kira-kira 474 aduan pengguna berkaitan pelbagai isu namun semua aduan berkenaan sudah disiasat.

Georgie berkata KPDNHEP Sabah turut
sudah melakukan pemeriksaan ke atas 16,604 premis perniagaan di seluruh negeri bagi tempoh sama.

Georgie (kanan) menunjukkan minyak masak yang sudah menjalani pembungkusan semula di salah sebuah premis peringkat pemborong di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

“Menurut rekod kementerian tahun lalu, lebih RM7.5 juta nilai rampasan dicatatkan membabitkan 1,127 kes di seluruh negeri.

“Selain itu, sebanyak 881 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah kutipan kompaun bernilai lebih RM390,000 selain 97 kes didaftarkan di bawah mahkamah dan jumlah denda sebanyak RM99,800.

“Kita turut melaksanakan pemeriksaan ke atas 60,918 premis perniagaan serta menerima 1,462 aduan pengguna sepanjang tahun lalu,” katanya.

Georgie (dua dari kanan) dan Ravichamdran (kanan) melihat bekalan gula yang baru sampai di salah sebuah premis pemborong terletak di KKIP Selatan. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Beliau berkata demikian ktika sidang media selepas pemeriksaan ke atas pemborong barang perlu dan pembungkusan semula minyak masak di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Ravichandran A/L Vadivellu.

Georgie (kiri) dan Ravichamdran (dua dari kiri) melihat bekalan minyak masak di salah sebuah premis pemborong terletak di KKIP Selatan. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Dilaksanakan ditiga lokasi berbeza, pemeriksaan berkenaan adalah bertujuan memeriksa kedudukan bekalan barang perlu di peringkat borong dan pembungkusan minyak menjelang sambutan Pesta Kaamatan pada penghujung Mei dan Hari Raya Aidilfitri awal Jun hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata pegawai penguatkuasa dibantu oleh pegawai pemantau harga sentiasa membuat pemeriksaan serta pemantauan secara harian termasuk hujung minggu dan hari cuti ke atas premis perniagaan seperti pasar basah, kedai runcit, pemborong, pembekal utama dan bazar Ramadan dalam memastikan semua bekalan barangan serta harga berada tahap terbaik untuk kegunaan pengguna. -SabahNews Today