Pilih Bahasa

Lebih seribu pelajar sekolah berasrama di Nabawan jalani saringan malaria

NABAWAN: Lebih seribu pelajar asrama dari 13 sekolah di daerah ini dberi saringan malaria.

Pegawai Kesihatan Daerah Nabawan, Dr Kevin Isaac Joseph berkata Program Saringan Malaria di Asrama Sekolah ini telah bermula pada 8 Januari lepas dan akan berakhir pada 15 Januari ini.

Salah seorang pelajar ditenangkan oleh rakan-rakannya semasa sesi mengambil sampel darah. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Ia telah diadakan sejak 12 tahun lepas di Nabawan bagi mengelak demam malaria berjangkit di kalangan pelajar di asrama.

“Kita memilih untuk mengadakan program ini pada awal persekolahan kerana ramai pelajar-pelajar yang baru pulang dari kampung halaman mereka semasa cuti sekolah jadi kita ambil inisiatif ini untuk membuat saringan bagi mengenal pasti dan mengelak daripada berjangkit kepada mereka yang lain,”ujarnya.

Kevin (berdiri, tengah) dan para petugas bergambar kenangan bersama para pelajar. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Sementara itu, Pengurus Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan 2, Mohd Lukman Al Hakim,32, berkata pihak sekolah mengalu-alukan saringan kesihatan tersebut.

“Program ini amat bagus kerana ia dapat memberi kesedaran kepada pelajar dan guru-guru di sini berkenaan penyakit berkenaan.

“Selain bahaya demam malaria, para pelajar juga mendapat maklumat bagaimana untuk mengelak daripada demam malaria, pengurusan pembungan sampah dan barangan terpakai dengan lebih baik.

Mohd Lukman Al Hakim. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Pengambilan sampel darah ini penting kerana kadang-kadang para pelajar datang dari tempat yang berlainan, sekiranya salah seorang mereka dijangkiti demam malaria dan tinggal di asrama jadi kalau kita lambat kenal pasti masalah ini ia akan cepat merebak, jadi dengan adanya usaha Jabatan Kesihatan Nabawan, penyakit ini dapat dicegah dari awal,” kongsinya.

Selain pengambilan sampel darah, para pelajar turut diberi taklimat berkenaan Pengurusan Kebersihan Persekitaran, Aktiviti Merokok di Kalangan Pelajar serta Pencegahan Demam Denggi.

Petugas Pejabat Kesihatan Nabawan mengambil sampel darah para pelajar. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Nabawan / Pensiangan dan Pejabat Penerangan Nabawan.

Antara sekolah berasrama lain yang terlibat adalah SMK Nabawan, SMK Sepulut, Sekolah Kebangsaan (SK) Sibangali, SK Pekan Pesiangan, SK Saliliran, SK Pangaraan, SK Tetagas, SK Kuala Salong, SK Babalitan, SK Longongon, SK Ponotomon dan Asrama Pohon Batu.-SabahNewsToday/PENERANGAN